China, Kemboja Tandatangani MoU Perkukuh Kerjasama, Persefahaman Perdagangan

BEIJING, 21 Julai — China dan Kemboja baru-baru ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dan persefahaman berhubung langkah perdagangan yang melibatkan negara ketiga.

MoU itu dimeterai Menteri Perdagangan China Wang Wentao dan rakan sejawatnya dari Kemboja, Cham Nimul.

Menerusi MoU berkenaan, kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan dialog secara terbuka dan membina mengenai isu berkaitan langkah perdagangan melibatkan negara ketiga yang menjadi perhatian bersama.

China dan Kemboja turut komited meningkatkan komunikasi, persefahaman dan ketelusan dalam mentafsir serta melaksanakan sebarang langkah yang berpotensi mempengaruhi hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala.

Kemboja memberi jaminan bahawa aturan perdagangannya dengan negara ketiga tidak akan menjejaskan perjanjian yang dimeterai dengan China atau kepentingan negara itu.

Kemboja juga menegaskan bahawa negara itu tidak pernah dan tidak akan mengambil sebarang langkah bersifat diskriminasi terhadap China atau menjejaskan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara China dengan ASEAN.

Kementerian Perdagangan China dalam kenyataan memaklumkan bahawa pemeteraian MoU itu mencerminkan persahabatan kukuh antara China dengan Kemboja.

Menurut kementerian itu, MoU berkenaan akan membantu kedua-dua negara mempertingkat kerjasama dan persefahaman, selain penting dalam memajukan pembinaan komuniti China-Kemboja dengan masa depan bersama.