Persidangan Kecerdasan Buatan Sedunia (WAIC) 2026 yang juga Persidangan Peringkat Tinggi Tadbir Urus Global Kecerdasan Buatan berlangsung di Shanghai dari 17 hingga 20 Julai 2026.
Persidangan itu bukan sahaja menyediakan platform kepada lebih 1,100 syarikat untuk mempamerkan teknologi canggih masing-masing, malah menjadi wadah kepada syarikat transnasional terkemuka dunia untuk meneroka pasaran China.
Ketua Pegawai Eksekutif Global Bahagian Kawalan Gerakan Kumpulan Perindustrian Digital Siemens, Achim Peltz berkata ekosistem perindustrian AI yang lengkap di China menjadi tarikan utama pengunjung.
“Ini kali pertama saya menyertai WAIC dan pengalaman ini sangat baik.
” Untuk berjaya dalam pasaran AI China yang disokong industri pembuatan yang kukuh, syarikat asing perlu menyesuaikan diri dengan keadaan tempatan serta memahami keperluan khusus sektor pembuatan negara ini,” kata Peltz.
Naib Presiden Kanan dan Presiden Robotik China Kumpulan ABB, Han Chen berkata kapasiti pemasangan robot China kini menduduki tempat teratas di dunia.
“Pelanggan di China amat berminat terhadap AI dan menggunakannya secara meluas, sekali gus mewujudkan pelbagai senario aplikasi yang tidak terdapat di negara lain.
“Pada masa sama, sejumlah besar data akan dihasilkan dan dikumpulkan bagi membantu mempercepat pembangunan model AI. China sememangnya pasaran yang tidak boleh digantikan di dunia,” katanya.
Sementara itu, Presiden Thermo Fisher Wilayah China Miguel Faustino berkata AI menjadi antara keutamaan pelaburan berterusan di China.
“Daya saing inovasi China di peringkat global kini meningkat ke tahap baharu. Thermo Fisher sudah beroperasi selama lebih 40 tahun di China dan kami akan terus menambah pelaburan di negara ini,” kata Faustino.













Tinggalkan Balasan