Exco Baharu N. Sembilan Mampu Laksana Amanah, Perkukuh Pentadbiran

SEREMBAN, 7 Ogos — Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan yakin 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang baharu dilantik mampu memberikan kerjasama terbaik kepada Menteri Besar serta melaksanakan tanggungjawab mengikut portfolio masing-masing demi kesejahteraan rakyat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata Exco berperanan sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat yang menjelaskan dasar kerajaan kepada masyarakat selain mengumpulkan isu, cadangan serta pandangan rakyat untuk dipertimbangkan dalam usaha menambah baik pentadbiran negeri.

“Menjadi Exco ini adalah jambatan antara kerajaan dengan rakyat dan rakyat dengan kerajaan. Segala dasar kerajaan yang hendak dibuat perlu diterangkan dengan sebaik mungkin kepada rakyat.

“Mereka juga bertanggungjawab mengutip segala isu, masalah, cadangan dan pandangan daripada masyarakat untuk menambah nilai serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di kawasan dan portfolio masing-masing,” katanya di sini hari ini.

Mohamad berkata setiap Exco perlu mendapatkan taklimat daripada jabatan di bawah portfolio masing-masing bagi memastikan mereka memahami fungsi serta urusan pentadbiran yang perlu dilaksanakan.

Beliau turut mengingatkan supaya hubungan antara Exco dan jabatan kerajaan sentiasa dipelihara bagi memastikan pelaksanaan dasar berjalan lancar.

Hari ini, kesemua Exco selesai mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti di sini.

Mohamad ketika mengulas mengenai kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berkata perkara itu bergantung kepada keputusan Ketua Menteri Melaka untuk memohon perkenan Yang Dipertua Negeri bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri.