FAA Arah Pemeriksaan Boeing 737 Max Susulan Keretakan Badan Pesawat

SAN FRANCISCO, 7 Ogos — Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat (AS) mengarahkan pemeriksaan dijalankan terhadap ratusan jet Boeing 737 MAX bagi mengesan keretakan pada bahagian badan pesawat, serta memberi amaran bahawa kerosakan yang tidak dikesan boleh menjejaskan integriti struktur, lapor Xinhua.

Menerusi Arahan Layak Terbang (AD) yang dikeluarkan pada Khamis, FAA memaklumkan bahawa arahan itu merangkumi pesawat model Boeing 737 MAX 8, MAX 9 dan MAX 8-200 tertentu, membabitkan kira-kira 471 pesawat berdaftar di AS.

Arahan yang berkuat kuasa pada 10 September itu dikeluarkan susulan laporan mengenai keretakan pada jalur galas di sudut atas hadapan ruang bukaan pintu dapur, menurut FAA.

“FAA mengeluarkan AD ini bagi menangani isu keretakan pada kulit badan pesawat dan jalur galas, yang boleh menyebabkan elemen struktur utama gagal menanggung beban had serta menjejaskan integriti struktur pesawat,” jelas agensi itu.

Jalur galas merupakan komponen struktur pesawat yang berfungsi menanggung dan menyokong beban di sekeliling ruang bukaan pada badan pesawat.

Menurut laporan media, Boeing memaklumkan bahawa syarikat itu menjalankan analisis kejuruteraan bagi mengenal pasti punca keretakan serta sedang berusaha merangka penambahbaikan kejuruteraan bagi mencegah masalah berulang pada masa hadapan.