PHNOM PENH, 22 Sept — Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa penyediaan dana antarabangsa secara mendesak bagi membersihkan sisa letupan perang (ERW) di Afghanistan selepas 218 kanak-kanak terbunuh atau cedera dalam tempoh lapan bulan lalu.
Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Afghanistan (UNAMA) melaporkan bahawa antara Januari hingga Ogos, seramai 280 orang terbunuh atau cedera di seluruh negara itu, dengan kanak-kanak merangkumi kira-kira 78 peratus daripada keseluruhan mangsa.
“Kanak-kanak amat terdedah kepada bahaya kerana mereka mungkin tidak menyedari bahawa sisa letupan perang adalah berbahaya.
“Risiko amat tinggi terutama di kawasan luar bandar apabila kawasan tercemar terletak berhampiran kediaman, tanah pertanian, kawasan ragut dan jalan raya,” kata Jurucakap Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA) yang berpangkalan di Kabul, Olga Cherevko kepada Bernama.
Beliau berkata kepulangan keluarga yang pernah berpindah juga boleh mendedahkan mereka kepada bahaya di kawasan yang tidak didiami selama bertahun-tahun.
“Masalah ini masih serius dan bahan letupan terus mengorbankan orang awam setiap bulan, dengan kanak-kanak menanggung kesan yang lebih besar,” kata beliau.
Ketika jumlah korban terus meningkat dan dana semakin berkurangan, ancaman terhadap orang awam turut bertambah di Afghanistan.
PBB pada Mei memberi amaran bahawa peningkatan konflik global dan pengurangan bantuan kemanusiaan menjejaskan usaha pembersihan periuk api di negara yang dilanda konflik termasuk Afghanistan, Gaza dan Syria.
Kekurangan dana menyebabkan kapasiti operasi berkurangan dengan ketara, sedangkan Afghanistan masih mempunyai hampir 1,070 kilometer persegi kawasan berbahaya yang dikenal pasti, menjejaskan kira-kira 1,565 komuniti.
Program Tindakan Periuk Api Afghanistan mencatat pengurangan tenaga kerja sebanyak 92.3 peratus sejak 2011, menyusut daripada lebih 14,900 pekerja kepada kira-kira 1,145 orang, kata Cherevko yang juga Ketua Penerangan Awam dan Pengurusan Maklumat OCHA.
“Kelewatan dalam kerja pembersihan menyebabkan komuniti terus terdedah kepada bahaya untuk tempoh lebih lama.
“Ia juga boleh menghalang penduduk daripada menggunakan tanah pertanian dan kawasan ragut dengan selamat, melambatkan projek pembinaan semula dan pembangunan, selain menyukarkan akses bantuan kemanusiaan,” kata Cherevko.
Krisis periuk api dan bahan letupan tidak meletup (UXO) di Afghanistan merupakan tinggalan pelbagai peperangan sejak 1979 yang menjejaskan ekonomi, infrastruktur dan mata pencarian negara itu.
Menurut laman sesawang Perkhidmatan Tindakan Periuk Api Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Afghanistan (UNMAS), kira-kira 45,941 orang awam Afghanistan terbunuh atau cedera akibat periuk api dan ERW sejak 1989.
Sejak itu, organisasi pembersihan periuk api di Afghanistan telah membersihkan lebih 13.3 juta bahan letupan, termasuk periuk api antipersonnel, periuk api antikenderaan dan periuk api buatan sendiri yang ditinggalkan, menurut UNMAS.
Kira-kira 126 kilometer persegi tanah pertanian dan 757 kilometer persegi kawasan ragut masih terdedah kepada bahaya bahan letupan yang tertanam di bawah tanah.
“Kesannya jauh lebih luas daripada sekadar jumlah mereka yang terbunuh atau cedera.
“Kawasan yang diketahui tercemar membataskan kawasan di mana orang ramai boleh tinggal, bercucuk tanam, menggembala ternakan, bergerak dan membina infrastruktur dengan selamat.
“Pencemaran itu turut menjejaskan kediaman dan kemudahan awam, terusan pengairan serta jalan raya.
“Terdapat juga 369 kemudahan pendidikan dan 198 kemudahan kesihatan yang terletak dalam lingkungan satu kilometer dari kawasan berbahaya yang dikenal pasti.
“Bagi kanak-kanak, keadaan ini boleh menyebabkan mereka terpaksa melalui laluan lebih jauh atau kurang selamat untuk ke sekolah, selain terdedah kepada bahaya ketika bermain atau menggembala ternakan.
“Bagi petani dan penternak pula, pencemaran itu boleh menyebabkan mereka kehilangan akses kepada tanah produktif,” kata Cherevko.













Tinggalkan Balasan