KUALA LUMPUR, 10 Ogos — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut (para-umbilical hernia), hari ini.
Ketua Pasukan Perubatan kepada Perdana Menteri Datuk Dr Asri Ranga Abdullah Ramaiah berkata prosedur berkenaan, berjalan lancar di bawah kendalian pasukan pakar perubatan.
Beliau berkata Anwar kini sedang menjalani rawatan fisioterapi dan berada di bawah pemantauan rapi pasukan pakar perubatan.
“Pemantauan itu bertujuan memastikan proses pemulihan Perdana Menteri berjalan dengan baik,” menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Anwar, hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah memaklumkan Anwar sedang menjalani pemeriksaan serta prosedur yang ditetapkan pasukan pakar perubatan dan dijangka berada di bawah pemantauan selama dua hari.
Sehubungan dengan itu, beliau mengajak orang ramai supaya mendoakan agar segala urusan pemeriksaan serta prosedur Perdana Menteri dipermudah dan dikurniakan keafiatan berpanjangan, agar dapat kembali menjalankan tugas seperti biasa dalam masa terdekat.















Tinggalkan Balasan