Malaysia, Qatar Senada Perang Mesti Dihentikan, Bantuan Kemanusiaan Disegerakan – Anwar

KUALA LUMPUR, 30 Sept — Malaysia dan Qatar senada bahawa peperangan di Asia Barat mesti dihentikan segera, selain penyaluran bantuan kemanusiaan dipercepat serta segala ikhtiar damai diperkukuh bagi menamatkan penderitaan rakyat yang terjejas.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendirian bersama itu dicapai menerusi perbualan telefon bersama Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, hari ini.

Anwar berkata dalam perbualan itu, beliau dan Sheikh Tamim membincangkan perkembangan terkini rundingan damai dan pergolakan di Asia Barat, khususnya penderitaan rakyat Palestin di Gaza serta usaha meredakan ketegangan yang melibatkan Iran.

“Malaysia akan terus mendukung usaha diplomatik bersama Qatar dan rakan serantau bagi menjamin keamanan yang berkekalan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau turut menzahirkan harapan agar hubungan erat Malaysia-Qatar terus berkembang, khususnya dalam perdagangan dan pelaburan.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan atas undangan Pengerusi Yayasan Qatar Sheikha Moza bint Nasser kepada isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi menghadiri Sidang Kemuncak Inovasi Dunia untuk Kesihatan (WISH).

Selain isu serantau, Anwar berkata Sheikh Tamim turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian abang kandungannya, Allahyarham Idrus Ibrahim.

“Saya amat menghargai ingatan dan ucapan takziah Sheikh Tamim atas pemergian abang saya, Almarhum Idrus Ibrahim,” katanya.

Idrus, 83, meninggal dunia di kediamannya di Cheruk Tok Kun, Bukit Mertajam pada 24 Sept lepas.

Selain itu, Anwar berkata Sheikh Tamim turut meminta beliau menyampaikan salam takziah kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekeluarga atas pemergian isterinya, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Allahyarham Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) Isnin lepas pada usia 100 tahun.