3,524 Pelarian Myanmar Dipersetujui Dihantar Pulang Menerusi Fasa Kedua – Fahmi

PUTRAJAYA, 30 Sept — Seramai 3,524 pelarian Myanmar telah dipersetujui untuk dihantar pulang ke negara asal menerusi fasa kedua program penghantaran pulang secara sukarela, kata Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Seri Fahmi Fadzil. 

Menteri Komunikasi itu berkata kerajaan ketika ini sedang menunggu makluman daripada pihak Myanmar berhubung tarikh penghantaran pulang kumpulan berkenaan yang akan diselaraskan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Wisma Putra.

Beliau berkata program penghantaran pulang secara sukarela fasa pertama berjaya dilaksanakan semalam melibatkan 1,476 pelarian Myanmar. 

“Individu yang terlibat (dalam fasa kedua) telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa Myanmar dan nama-nama tersebut dikemukakan melalui nota diplomatik bertarikh 13 Ogos 2026 kepada Malaysia menerusi Wisma Putra,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan perbincangan dengan pihak Myanmar dalam masa terdekat bagi membolehkan lebih ramai pelarian Myanmar diterima pulang ke negara asal mereka.

Semalam, Malaysia melaksanakan program penghantaran pulang fasa pertama melibatkan 1,476 tahanan warga Myanmar dengan menggunakan tiga kapal termasuk sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN Datuk Makhzan Mahyuddin berkata semua individu terbabit melibatkan 1,370 lelaki, 79 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan, berusia antara lapan hingga 60 tahun.

Pada 29 Julai lepas, Perdana Menteri berkata Myanmar bersetuju untuk menerima semula kira-kira 5,000 tahanan warga Myanmar yang kini berada di Malaysia hasil rundingan dan hubungan baik antara Malaysia dan Myanmar.

Susulan itu, pada 30 Julai, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata KDN telah memulakan proses mengenal pasti, mendokumentasi dan membuat tapisan terhadap tahanan warga Myanmar sebagai persediaan penghantaran pulang.

Sebelum  ini, Fahmi menegaskan bahawa Malaysia tidak akan menghantar pulang mana-mana pelarian  Myanmar sekiranya terdapat risiko mereka dizalimi atau nyawa terancam meskipun negara itu bersetuju menerima 5,000 pelarian dari negara ini.

Beliau berkata kerajaan menerusi Wisma Putra akan meneliti terlebih dahulu beberapa perkara termasuk aspek keselamatan sebelum proses penghantaran pulang dilaksanakan termasuk mengenal pasti 5,000 pelarian yang terlibat.