KUALA LUMPUR, 10 Ogos — Orang ramai diingatkan supaya sentiasa merujuk kepada panduan rasmi dalam memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang bagi mengelakkan kesilapan sekali gus memelihara kedaulatan lambang tertinggi negara itu.
Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Azwarni Herni Che Noh berkata panduan tepat mengenai pemasangan bendera boleh dimuat turun menerusi portal Merdeka360 serta platform e-Book JAPEN.
“Langkah kecil yang kita ambil ini mengelakkan kesilapan seperti kita pasang Jalur Gemilang secara terbalik ataupun kita menggunakan bendera yang telah lusuh, telah rosak atau kita paparkan dengan cara yang tidak wajar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program FOKUS 30 bertajuk “Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang” terbitan Bernama Radio di sini hari ini.
Azwarni Herni berkata langkah merujuk panduan rasmi menerusi platform digital seperti ebook.penerangan.gov.my atau portal Merdeka360 amat penting supaya masyarakat tidak membuat andaian sendiri sehingga membelakangkan etika menghormati bendera negara.
Beliau turut menarik perhatian mengenai penggunaan magnet Jalur Gemilang pada kenderaan awam dan persendirian yang perlu mematuhi tatacara tertentu atas faktor keselamatan.
Dalam pada itu, Azwarni Herni mengajak rakyat Malaysia menjayakan Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) di kediaman masing-masing bagi menzahirkan rasa cinta serta bangga kepada tanah air sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024.
“Matlamat kita yang lebih besar ialah kita ingin menyemai rasa cinta dan rasa bangga kepada negara ini, di samping kita ingin mengingati jasa dan pengorbanan generasi terdahulu.
“Mulakan dari rumah kita sendiri, ayuh kita kibarkan Jalur Gemilang dengan betul, dengan rasa bangga sebagai tanda cinta kita pada negara,” katanya.















Tinggalkan Balasan