Penghormatan Kepada Buruh Paksa Asia Bina Landasan Kereta Api Thailand-Burma

BANGKOK, 16 Ogos — Kedutaan Belanda di Thailand memberikan penghormatan kepada buruh paksa Asia yang terlibat dalam pembinaan Landasan Kereta Api Thailand-Burma di “Memorial Nadukal-Hero Stone” di Kanchanaburi pada Sabtu.

Delegasi kedutaan yang diketuai Kuasa Usaha Joost Van Ettro meletakkan kalungan bunga di tugu peringatan berkenaan, dan menurut pengasasnya merupakan penghormatan pertama seumpama itu oleh sebuah kedutaan asing sejak tugu berkenaan didirikan pada 2024.

“Kami amat berterima kasih kepada penduduk Kanchanaburi serta semua pihak yang terus menjaga tempat-tempat peringatan ini dan memelihara sejarahnya bagi generasi akan datang,” kata Van Ettro.

Pengerusi Malaysians and Indians in Bangkok (MIB), Dr Silva Kumar yang mendirikan Hero Stone pada 2024, menyifatkan upacara meletakkan kalungan bunga itu sebagai satu pencapaian penting dalam usaha mengiktiraf penderitaan buruh paksa Asia.

“Kami amat bangga dan gembira kerana ini merupakan satu pencapaian penting dalam mengiktiraf buruh paksa Asia yang penderitaan mereka tidak pernah diberikan pengiktirafan sewajarnya,” katanya kepada Bernama.

Tugu peringatan itu didirikan bagi memperingati buruh Asia yang dikenali sebagai “romusha” , yang dipaksa bekerja membina landasan kereta api sepanjang 415 kilometer, menghubungkan Thailand dan Myanmar semasa Perang Dunia Kedua.

Walaupun angka korban sebenar masih tidak diketahui, anggaran sejarah menunjukkan kira-kira 100,000 orang terkorban semasa pembinaannya, termasuk kira-kira 12,000 tawanan perang Bersekutu serta puluhan ribu buruh paksa Asia yang terpaksa berdepan keadaan kerja yang teruk dan sering membawa maut.