KUALA LUMPUR, 15 Ogos — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tujuh individu terdiri daripada seorang ketua pegawai eksekutif (CEO), seorang pengarah syarikat, seorang bekas pengarah syarikat dan empat bekas pengurusan kanan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi membantu siasatan berhubung isu yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji.
Menurut sumber, semua suspek ditahan secara berperingkat antara 3 petang semalam hingga 10.30 malam tadi di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Suspek pertama, iaitu seorang CEO syarikat perkapalan bergelar Datuk berumur lingkungan 60-an ditahan kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butiran matan palsu ketika membuat bayaran kepada TH, membabitkan pemalsuan dokumen kontrak sebuah syarikat petroleum untuk kepentingan syarikat miliknya.
“Suspek kedua, seorang pengarah syarikat pembinaan bergelar Datuk juga berusia lingkungan 60-an, ditahan kerana disyaki memperdayakan pegawai TH supaya membuat pelaburan dalam sebuah syarikat pembinaan dengan menjanjikan syarikat terbabit berpotensi disenaraikan di Bursa Malaysia,” katanya.
Seorang lagi suspek, iaitu bekas pengarah syarikat bergelar Datuk Seri berumur lingkungan 60-an, turut ditahan kerana disyaki terbabit dalam perkara sama dengan suspek kedua, menurut sumber.
Sementara itu, empat bekas pengurusan kanan TH berumur lingkungan 50-an hingga 60-an, termasuk seorang bergelar Datuk Seri dan seorang wanita, ditahan kerana disyaki terbabit dalam amalan rasuah sehingga mendorong TH memasuki perjanjian pajakan empat hotel dengan sebuah syarikat di Arab Saudi bernilai SR2.49 bilion, yang mengakibatkan kerugian kepada TH.
Sumber memaklumkan hanya dua suspek lelaki, iaitu CEO syarikat perkapalan dan pengarah syarikat pembinaan direman, manakala lima lagi suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor masalah kesihatan.
Perintah reman lima hari hingga 19 Ogos terhadap kedua-dua suspek itu dikeluarkan Majistret Ahmad Afiq Hasan selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 serta Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.















Tinggalkan Balasan