SEOUL, 16 Ogos — LG Electronics Inc., pengeluar utama perkakas rumah Korea Selatan, pada Ahad berkata syarikat itu telah memulakan operasi sebuah kilang perkakas rumah baharu di Brazil bagi memperluas penguasaan di rantau Amerika Selatan, lapor Agensi Berita Yonhap.
Brazil sejak sekian lama menjadi pasaran utama LG Electronics sebagai ekonomi ke-11 terbesar dunia, dengan kuasa beli dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah meningkat seiring dengan program sokongan kerajaan.
Kemudahan pembuatan baharu di Parana, selatan Brazil, merupakan kilang kedua LG Electronics di negara itu dan mula beroperasi minggu lepas.
Kemudahan berkenaan mempunyai kapasiti tahunan untuk menghasilkan 600,000 peti sejuk.
Digabungkan dengan kemudahan sedia ada di Amazonas, kapasiti pengeluaran tahunan perkakas LG di Brazil dijangka melebihi tujuh juta unit.
LG Electronics berkata kilang baharu itu akan memberi tumpuan kepada perkakas premium dan yang disesuaikan dengan pasaran tempatan bagi meningkatkan daya saing kos susulan permintaan tempatan yang semakin meningkat, selain berfungsi sebagai hab eksport ke negara jiran.













Tinggalkan Balasan