KUALA LUMPUR, 19 Ogos — Emiriah Arab Bersatu (UAE) menggantung semua urusan perdagangan, pertukaran komersial dan transaksi kewangan dengan Iran hingga diberitahu kelak susulan ketegangan serantau yang semakin memuncak, menurut seorang pegawai Kementerian Luar.
Pengarah Jabatan Komunikasi Strategik Kementerian Luar Afra Al Hameli mengumumkan langkah itu ketika menolak dakwaan berkaitan keadaan hubungan ekonomi antara UAE dan Iran.
“Susulan peningkatan ketegangan serantau yang menjejaskan keamanan serta keselamatan serantau dan antarabangsa, semua urusan perdagangan, pertukaran komersial dan transaksi kewangan dengan Iran dihentikan hingga diberitahu kelak,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Al Hameli mengulangi komitmen UAE terhadap dialog, kerjasama dan integrasi serantau sebagai kaedah penting untuk memajukan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau itu.
Beliau turut menegaskan UAE komited untuk memelihara integriti sistem kewangan antarabangsa selaras dengan undang-undang antarabangsa dan piawaian global tertinggi.
Pengumuman itu dibuat selepas Kementerian Pertahanan UAE memaklumkan sistem pertahanan udara negara berkenaan mengesan dua peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari Iran dengan sasaran terhadap laluan pelayaran maritim.
Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baqaei menolak dakwaan UAE bahawa Iran melancarkan peluru berpandu ke negara itu.
Menurut agensi berita Mehr, Baqaei menyuarakan kekesalan terhadap tuduhan yang dilemparkan kepada Tehran, sambil menyifatkan tindakan itu bertentangan dengan prinsip kejiranan baik.













Tinggalkan Balasan