Jerebu: Pengalaman PdPR Bantu Ibu Bapa, Pelajar Sesuaikan Diri Dengan Penutupan Sekolah

KUALA LUMPUR, 9 Okt — Pengalaman mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebelum ini membantu ibu bapa dan pelajar menyesuaikan diri dengan pelaksanaan semula kaedah itu susulan penutupan sekolah akibat jerebu di beberapa negeri. 

Kesiapsiagaan guru menyediakan bahan pembelajaran dan tugasan menerusi platform digital membolehkan proses pembelajaran diteruskan, sekali gus membantu pelajar membuat persiapan menghadapi peperiksaan tanpa perlu hadir ke sekolah.

Di ibu negara, seorang penjawat awam yang hanya mahu dikenali sebagai Marlina, 44, berkata jadual kerjanya pada syif petang membolehkannya membantu anak perempuannya yang merupakan murid tahun dua di Sekolah Kebangsaan (SK) Danau Kota 2 mengikuti PdPR pada sebelah pagi.

“Anak bersemangat untuk ke sekolah, namun saya beritahu hari ini sekolah tutup sebab jerebu, tapi bukan cuti, belajar secara dalam talian. Mujurlah dia sudah biasa dengan kaedah ini kerana pernah melaluinya ketika di tadika semasa pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau turut memuji tindakan pantas guru menyediakan bahan pembelajaran dan pautan tugasan meskipun pengumuman penutupan sekolah dibuat lewat malam tadi, sekali gus memudahkan ibu bapa membimbing anak mengikuti pembelajaran dari rumah.

Di SELANGOR, bapa kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, Razif Mat Arbak, 42, berkata pelaksanaan PdPR meredakan kebimbangan terhadap kesihatan anaknya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Klang, selain membolehkan anaknya memberi tumpuan kepada persiapan peperiksaan yang bermula hujung bulan ini. 

Beliau berkata sebelum ini timbul dilema sama ada perlu menghantar anak ke sekolah berikutan keadaan jerebu atau membiarkannya belajar di rumah, memandangkan peperiksaan SPM semakin hampir.

“Kini setidaknya dia boleh belajar melalui PdPR dan fokus dengan bahan yang guru sediakan tanpa perlu meredah persekitaran luar yang saya lihat semakin membimbangkan untuk pergi ke sekolah,” katanya.

Bapa kepada murid tahun tiga di SK Taman Tun Dr Ismail Jaya, Shah Alam Raheemie Arifin, 39, turut menyokong keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) menutup sekolah terutama membabitkan murid-murid sekolah rendah yang lebih mudah terdedah dengan bahaya penyakit.

“Sangat relevan PdPR dilaksanakan pada waktu ini kerana kanak-kanak lebih mudah terdedah dengan penyakit. Sekurang-kurangnya mereka dapat belajar dengan lebih selesa di rumah tanpa perlu menghirup udara tercemar,” katanya.