Rasionalisasi Subsidi Lindungi Rakyat Daripada Tekanan Kos Sara Hidup, Perkukuh Fiskal – Laporan Ekonomi

KUALA LUMPUR, 9 Okt — Sehingga akhir Ogos 2026, lebih 14.8 bilion liter RON95 telah dibeli pada harga bersubsidi dengan penyaluran subsidi sebanyak RM18 bilion, sekali gus mencerminkan usaha kerajaan memastikan subsidi terus dinikmati golongan yang layak, di samping memperkukuh kedudukan fiskal negara.

Menurut Laporan Tinjauan Ekonomi 2027 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, lebih 130 juta liter diesel turut digunakan menerusi mekanisme subsidi bersasar dalam tempoh sama, melibatkan peruntukan subsidi sekitar RM295 juta.

Laporan itu menyatakan rasionalisasi subsidi melalui program BUDI MADANI, penting dalam membina asas fiskal lebih kukuh dan memastikan kelangsungan aktiviti ekonomi, selain melindungi isi rumah mudah terjejas daripada peningkatan kos sara hidup.

“Susulan kejayaan pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) di Semenanjung, program itu diperluas menerusi penyepaduan BUDI95 dan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) ke seluruh negara mulai 1 Julai, membolehkan pemegang MyKad yang layak membeli RON95 dan diesel pada harga bersubsidi,” menurut laporan itu.

Dalam memperluas inisiatif berasaskan komuniti, kerajaan meneruskan Ikhtiar MADANI Untuk Rakyat merangkumi Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI), Kampung Angkat MADANI, Sekolah Angkat MADANI dan Solar MADANI, bagi meningkatkan keberhasilan sosioekonomi pada peringkat akar umbi.

Menerusi SejaTi MADANI, geran berjumlah RM8.5 juta telah diluluskan kepada 89 komuniti bagi aktiviti penjanaan pendapatan termasuk pertanian dan perusahaan berskala kecil, meliputi golongan belia.

Menurut laporan itu, sebanyak 145 projek Kampung Angkat MADANI dan 151 inisiatif Sekolah Angkat MADANI turut diluluskan, selain peluasan solar MADANI ke seluruh negara dan pengenalan Tuisyen MADANI secara percuma.

Inisiatif itu disokong oleh Sejahtera MADANI, yang menggembleng sumbangan sektor swasta melalui menerusi Tabung Kesejahteraan Rakyat, bagi menyokong pembangunan komuniti dengan hampir RM78 juta berjaya dikumpulkan daripada syarikat tempatan sehingga akhir Ogos 2026.

“Bagi meningkatkan akses perkhidmatan kerajaan di kawasan luar bandar dan pedalaman, RM11 juta disalurkan bagi Inisiatif Perbankan Bergerak melibatkan pengoperasian 36 unit di lapan negeri termasuk 23 unit di Sabah dan Sarawak, selain RM2.6 juta diperuntukkan bagi memperluas program Perkhidmatan Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Jabatan Pendaftaran Negara.

“Sebanyak RM27 juta turut diperuntukkan bagi program jangkauan komuniti merangkumi klinik bergerak, perkhidmatan pemulihan komuniti dan pembelajaran sepanjang hayat, dengan 49 klinik bergerak memberi manfaat kepada lebih 5,700 penerima sehingga Julai, manakala 197 kursus pembelajaran sepanjang hayat merekodkan lebih 18,000 peserta,” menurut laporan itu.

Selain itu, kemudahan perkhidmatan bergerak turut disediakan melalui Mahkamah Buruh Bergerak dan Mahkamah Kanak-Kanak Bergerak di seluruh negara, bagi membantu menyelesaikan pertikaian di tempat kerja, serta melindungi privasi dan kesejahteraan emosi mangsa dan saksi kanak-kanak.

Dalam pada itu, pembangunan infrastruktur utama di Sabah dan Sarawak terus dipercepat, dengan Lebuhraya Pan Borneo Sabah bernilai RM24.9 bilion mencatat kemajuan 89 peratus bagi Fasa 1A dan 37.6 peratus bagi Fasa 1B sehingga akhir Ogos.

Fasa 1A bernilai RM10.9 bilion dijangka siap pada 2028, manakala Fasa 1B bernilai RM14 bilion pada 2030, sementara jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sepanjang 740 kilometer telah mencapai 99.9 peratus kemajuan.

“Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) bernilai RM8.8 bilion pula menyaksikan Fasa 1 dijangka siap pada 2027 dan Fasa 2 pada 2030, manakala RM1.9 bilion diperuntukkan bagi 18 projek untuk meningkatkan keupayaan serta kebolehpercayaan sistem penghantaran dan pembahagian elektrik di Sabah dan Labuan,” menurut laporan itu.

Laporan itu memaklumkan dalam memastikan kelangsungan hidup rakyat, kerajaan memperuntukkan RM15 bilion bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada 2026, termasuk RM1.9 bilion di bawah Penghargaan SARA yang disalurkan kepada 20.2 juta warganegara berumur 18 tahun ke atas, menerusi kredit RM100 secara sekali bayar melalui MyKad.

Lebih RM600 juta turut disalurkan bagi Jualan Rahmah MADANI di 23,040 lokasi, yang menawarkan diskaun sehingga 30 peratus bagi barangan keperluan harian, selain lebih RM250 juta bagi menampung kos pengagihan barangan asas ke kawasan pedalaman Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Selain itu, perlindungan sosial golongan bekerja sendiri termasuk pekerja gig, diperluas menerusi skim insentif padanan caruman KWSP seperti i-Saraan, i-Saraan Plus dan i-Suri serta Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO dengan subsidi sehingga 70 peratus nilai caruman kepada golongan layak, membabitkan sekitar RM7.8 juta disalurkan yang memanfaatkan lebih 59,000 pencarum.

Kerajaan turut memperuntukkan RM100 juta bagi menggalakkan GLC dan GLIC melaksanakan inisiatif berimpak sosial melalui platform filantropi dengan kaedah padanan 1:1 dan 37 projek berimpak tinggi menerima geran sehingga September, selain tambahan RM20 juta bagi Geran Padanan GLC Demi Rakyat dan Negara (GDRN) BANTU, untuk memperkukuh daya tahan menghadapi bencana.

Sebagai persediaan menghadapi penuaan penduduk, kerajaan sedang membangunkan Piawaian Nasional Sektor Penjagaan bagi meningkatkan piawaian penjagaan, keupayaan tenaga kerja dan sokongan berasaskan komuniti, dengan 745 peserta mengikuti modul latihan penjagaan di bawah Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET), setakat Ogos.