Finland Bersedia Sambung Semula Pemindahan Pemohon Suaka Ke Itali

LONDON, 21 Ogos — Finland sedang bersiap sedia untuk menyambung semula pemindahan pemohon suaka ke Itali, sekali gus menjadi negara keempat berbuat demikian selepas Jerman, Switzerland dan Austria, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Pejabat media Kementerian Dalam Negeri Finland memberitahu agensi berita Itali ANSA pada Khamis bahawa langkah itu dibuat susulan penguatkuasaan Peraturan Pengurusan Suaka dan Migrasi Kesatuan Eropah (AMMR).

AMMR membolehkan negara di Eropah utara menghantar semula pemohon suaka ke negara Eropah pertama yang mereka masuki.

“Kami percaya penguatkuasaan Peraturan EU mengenai Pengurusan Suaka dan Migrasi akan membolehkan pemindahan ke Itali disambung semula. Persiapan ke arah itu sedang dilakukan,” menurut kementerian berkenaan.

Finland menegaskan bahawa peraturan EU berkaitan tanggungjawab memproses permohonan suaka perlu dilaksanakan sebagaimana ditetapkan, selain semua negara anggota memenuhi kewajipan masing-masing di bawah pakatan itu.

Kementerian itu turut menegaskan komitmen Finland untuk memastikan prosedur berkenaan dilaksanakan dengan berkesan.

Sementara itu, Sweden telah memindahkan migran ke Itali dan berhasrat meneruskan langkah itu, menurut jurucakap Menteri Migrasi Johan Forssell, Victoria Holmqvist.

“Adalah penting kerjasama kami berjalan dengan baik supaya migrasi ke Eropah dapat diurus dan dikawal dengan berkesan,” katanya kepada ANSA.

Beliau berkata pemindahan di bawah Peraturan Dublin juga berjalan dengan lebih baik sejak pakatan Eropah berkuat kuasa.