KUALA LUMPUR, 21 Ogos — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lima individu termasuk seorang pengerusi agensi kerajaan bergelar Datuk kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dalam urusan pelupusan tanah milik agensi kerajaan di bawah sebuah kementerian di Pulau Pinang, membabitkan kerugian kira-kira RM1.96 juta.
Menurut sumber, empat individu lain terdiri daripada dua pengarah syarikat, pengurus teknikal dan seorang kerani wanita yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.
“Pengerusi agensi kerajaan berusia lingkungan 50-an itu ditahan kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukannya ketika itu sebagai Timbalan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah untuk meluluskan penjualan lapan lot tanah di Seberang Perai Selatan pada 2015 kepada sebuah syarikat yang disyaki milik sekutunya.
“Individu terbabit juga dipercayai menggunakan kedudukannya dengan terlibat dalam meluluskan penjualan tanah tersebut pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran membabitkan nilai kerugian kira-kira RM1.96 juta,” katanya.
Sumber berkata kesemua suspek yang berusia lingkungan 40-an hingga 50-an itu ditahan secara berperingkat kira-kira 11 pagi hingga 12 tengah hari di pejabat SPRM Pulau Pinang semalam dan akan dibawa untuk permohonan reman di Mahkamah Majistret George Town, pagi ini.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

















Tinggalkan Balasan