Rena Lee Rakyat Singapura, Wanita Asia Tenggara Pertama Jadi Hakim ICJ

SINGAPURA, 4 Nov — Duta bagi Undang-Undang Antarabangsa Singapura Rena Lee dipilih sebagai hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi penggal 2027 hingga 2036, sekali gus menjadi rakyat Singapura pertama dan wanita pertama dari Asia Tenggara yang dipilih menganggotai mahkamah itu.

Perdana Menteri Lawrence Wong berkata Lee memperoleh jumlah undi tertinggi dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) dengan 151 undi dan berkongsi jumlah undi tertinggi dalam Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dengan 13 undi, sekali gus menjamin pemilihannya pada pusingan pertama pengundian.

Beliau berkata keputusan pengundian yang kukuh itu mencerminkan sokongan antarabangsa yang meluas terhadap pencalonan Lee serta kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh negara-negara di seluruh dunia terhadap beliau.

“Ketika ketegangan geopolitik semakin meningkat dan orde antarabangsa berdepan pelbagai cabaran, peranan ICJ dalam menegakkan undang-undang antarabangsa dan menyelesaikan pertikaian secara aman menjadi lebih penting berbanding sebelum ini.

“Bagi negara kecil seperti Singapura, orde antarabangsa berasaskan peraturan merupakan asas penting kepada kedaulatan, keselamatan dan kemakmuran kami,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Wong menekankan bahawa Singapura sejak sekian lama komited untuk menegakkan undang-undang antarabangsa dan menyumbang kepada perkembangannya.