EU Sepakat Percepat Perluasan Rangkaian Grid Elektrik Di Eropah

BRUSSELS, 18 Nov — Kesatuan Eropah (EU) merancang mempercepat perluasan dan penyambungan rangkaian grid elektrik di seluruh blok itu bagi mengurangkan perbezaan harga elektrik antara wilayah serta menyokong peralihan kepada tenaga lebih bersih, lapor agensi berita Jerman dpa.

Perunding dari negara anggota EU dan Parlimen Eropah mencapai persetujuan di Brussels untuk menghapuskan halangan yang membantutkan pembangunan infrastruktur elektrik di Eropah, menurut kedua-dua pihak pada awal pagi Rabu.

Pakej itu bertujuan meningkatkan kebebasan dan daya tahan bekalan tenaga Eropah, termasuk mempercepat proses kelulusan projek tenaga boleh baharu, grid elektrik, kemudahan penyimpanan tenaga serta stesen pengecasan kenderaan elektrik.

Langkah berkenaan juga bertujuan memastikan bekalan elektrik yang lebih murah daripada sumber tenaga angin dan solar dapat disalurkan ke kawasan yang memerlukan, sekali gus membantu mengurangkan jurang harga antara wilayah.

Selain itu, ia juga dijangka meningkatkan daya tahan sistem tenaga serta memperkukuh perlindungan terhadap serangan fizikal dan siber.

Persetujuan berkenaan adalah berdasarkan cadangan yang dikemukakan Suruhanjaya Eropah pada Disember lalu.

Rangkaian elektrik Eropah sejak sekian lama dilihat sebagai antara halangan utama kepada usaha menurunkan harga tenaga, mengurangkan pelepasan karbon dalam ekonomi serta mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan tenaga dari luar.

Pesuruhjaya Tenaga EU Dan Jorgensen berkata sejumlah besar elektrik berjaya dijana, namun tidak dapat disalurkan ke grid berikutan kekurangan pembangunan infrastruktur.

Suruhanjaya Eropah menganggarkan pelaburan melebihi €1 trilion (US$1.1 trilion) diperlukan untuk memperluas dan memodenkan rangkaian elektrik Eropah menjelang 2040.

Bagaimanapun, persetujuan itu masih memerlukan kelulusan rasmi Parlimen Eropah dan negara anggota EU sebelum dimuktamadkan.