Kerajaan Negeri Tiada Perancangan Khusus Bangunkan Pulau Jerejak – Chow

GEORGE TOWN, 4 Nov — Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika ini tidak mempunyai sebarang perancangan khusus untuk membangunkan tanah milik kerajaan di Pulau Jerejak di Bayan Lepas, namun beberapa cadangan pembangunan telah dikemukakan oleh pemaju swasta.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata cadangan berkenaan melibatkan pembangunan bercampur serta penyediaan kemudahan infrastruktur dan rekreasi di pulau itu.

“Dalam pada itu, permohonan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) bagi tapak pembinaan jambatan dari kawasan Persiaran Bayan Indah berhampiran Queensbay ke Pulau Jerejak yang melibatkan kawasan seluas 0.82 hektar (2.02 ekar) telah diluluskan pada 2023.

“Ia diperbaharui setiap tahun hingga 2026 dengan bayaran LPS sebanyak RM12,300 setahun,” katanya bagi menjawab pertanyaan Joshua Woo Sze Zeng (PH-Pulau Tikus) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.

Chow berkata cadangan pembangunan di Pulau Jerejak adalah berasaskan inisiatif pemaju swasta dan pelaksanaannya tertakluk kepada kelulusan perancangan, urusan tanah serta pematuhan terhadap keperluan teknikal dan perundangan yang ditetapkan pihak berkuasa berkaitan.

Sebelum ini, dilaporkan pembinaan jambatan baharu yang menghubungkan Pulau Jerejak dengan bahagian utama Pulau Pinang sepanjang satu kilometer dengan kos RM500 juta bermula tahun ini.

Pulau Jerejak merupakan sebuah pulau kecil yang terletak di Selat Pulau Pinang, dengan kira-kira 85 peratus daripada keseluruhan pulau itu telah diwartakan sebagai hutan simpan dan tidak boleh disentuh.