KUALA LUMPUR, 17 Nov — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang maut dalam kemalangan membabitkan 11 anggota polis di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Slim River, hari ini.
Ahmad Zahid menerusi hantaran di Facebook berkata Allahyarham Lans Koperal Muhammad Shahrul Alif Yaacob dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah, disahkan meninggal dunia dalam kejadian itu.
“Salam takziah saya ucapkan kepada keluarga Allahyarham semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat-Nya dan menempatkan roh beliau dalam kalangan orang-orang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar semua anggota yang cedera diberikan kekuatan dan dipermudah urusan rawatan, termasuk Lans Koperal Ridzuan Sarizan dari Bagan Datuk, selain berharap mereka segera sembuh dan dapat kembali bersama dengan keluarga.
Sementara itu, Saifuddin menerusi hantaran di Facebook berkata beliau amat berdukacita menerima berita mengenai kemalangan itu dan mengarahkan PDRM memastikan mereka yang cedera, menerima rawatan terbaik serta segala urusan kebajikan diberikan perhatian sewajarnya.
Beliau turut mendoakan agar roh Allahyarham Muhammad Shahrul Alif dicucuri rahmat, keluarganya diberikan ketabahan dan semua anggota yang cedera dikurniakan kesembuhan segera.












Tinggalkan Balasan