PUTRAJAYA, 21 Ogos — Malaysia menyasarkan sekurang-kurangnya 5,000 bakat tempatan mendapat latihan teknologi Arm Limited menjelang akhir 2027, sebagai sebahagian daripada usaha memastikan kerjasama dengan syarikat teknologi global itu memberi manfaat kepada pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi negara.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata sasaran itu merupakan antara penanda aras penting bagi memastikan komitmen melatih 10,000 bakat dalam tempoh empat tahun di bawah kerjasama Malaysia-Arm dapat dicapai.
“Saya nak meletakkan sasaran sebab ia telah bermula pada 2025… jadi penghujung 2027 kita kena capai sekurang-kurangnya 5,000 peserta,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Ekonomi dan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kepada Arm Limited di sini hari ini.
Beliau berkata setakat ini 1,530 peserta telah menerima latihan, namun usaha berkenaan perlu dilaksanakan secara lebih tersusun bagi memastikan sasaran 10,000 bakat itu bukan sekadar angka dalam perjanjian.
Beliau berkata secara purata sasaran 10,000 peserta dalam tempoh empat tahun memerlukan kira-kira 2,500 peserta dilatih setiap tahun.
Akmal Nasrullah berkata Kementerian Ekonomi bersama Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia sedang menyusun pendekatan bersama bagi memperluas latihan berkenaan.
Beliau berkata perbincangan dengan 12 universiti pada minggu lepas mendapati institusi berkenaan mampu memberikan komitmen untuk melatih sekurang-kurangnya 2,500 peserta setahun.
“Kita bersepakat bahawa perkara ini sebenarnya lebih elok sekiranya tidak digerakkan secara silo. Bila kita sebut soal latihan, bila Arm memberi latihan itu bermaksud syarikat itu memberi latihan secara dalam talian.
“Tetapi sekiranya perkara itu tidak disusun dengan baik di peringkat institusi kita yang ada, ia akan menjadi satu usaha in silo,” katanya.
Beliau juga berkata bahawa beberapa universiti telah bersetuju untuk mengintegrasikan latihan Arm ke dalam program pengajian sedia ada, termasuk sebagai sebahagian daripada bidang yang sedang diikuti pelajar.
Akmal Nasrullah berkata terdapat juga universiti yang bersetuju menjadikan latihan berkenaan sebahagian daripada program latihan industri atauinternship, selain memasukkannya dalam projek tahun akhir.
Pendekatan itu, kata beliau penting bagi memastikan latihan yang diberikan mempunyai kaitan terus dengan pengajian dan keperluan industri, selain mengelakkan usaha mencapai sasaran dilakukan secara berasingan.
Beliau berkata peserta yang telah mendapat pendedahan melalui latihan Arm juga akan diberi peluang menjalani latihan industri di syarikat yang menerima token Arm Flexible Access (AFA).
Langkah tersebut bertujuan menghubungkan program latihan dengan syarikat yang menerima akses teknologi berkenaan supaya bakat tempatan dapat diserap ke dalam ekosistem industri semikonduktor negara.
“Kita tak mahu nanti anak-anak kita bila dah dapat pendedahan disunting oleh negara lain, disunting oleh syarikat luar. Sedangkan syarikat yang bertapak dalam negara akan mengatakan bakat tidak ada, tidak mencukupi ataupun susah nak cari,” katanya.
Terdahulu, beliau telah menyerahkan surat tawaran kepada dua syarikat tempatan, Oppstar Technology Sdn Bhd dan Alphaswift Industries Sdn Bhd.
Kedua-dua syarikat tersebut menerima akses kepada teknologi Arm Compute Subsystem (CSS) dan program AFA bagi mempercepat pembangunan reka bentuk litar bersepadu, penyelidikan dan pembangunan teknologi semikonduktor di Malaysia.

















Tinggalkan Balasan