ISTANBUL, 22 Ogos — TikTok dan syarikat induknya ByteDance bersetuju membayar US$400 juta bagi menyelesaikan saman dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) berhubung dakwaan platform itu melanggar undang-undang privasi dalam talian kanak-kanak, lapor Anadolu Ajansi.
TikTok akan membayar US$300 juta serta-merta dan US$100 juta lagi selepas mahkamah membatalkan dekri persetujuan terdahulu yang membabitkan pendahulunya, Musical.ly, menurut Jabatan Kehakiman.
Jabatan itu menyaman TikTok dan ByteDance pada 2024 atas dakwaan platform berkenaan melanggar Akta Perlindungan Privasi Dalam Talian Kanak-Kanak dengan membenarkan kanak-kanak bawah 13 tahun membuka akaun serta gagal memadamkan akaun dan data mereka apabila diminta ibu bapa.
“Penyelesaian ini merupakan kemenangan besar bagi kanak-kanak dan ibu bapa di Amerika,” kata Timbalan Peguam Negara Stanley Woodward Jr.
“Keutamaan Jabatan adalah untuk memastikan kanak-kanak dilindungi dalam talian dan syarikat yang diamanahkan dengan maklumat peribadi mereka memenuhi kewajipan undang-undang,” kata Woodward.
“Penyelesaian ini memperoleh jumlah pampasan yang besar, di samping memperkukuh perlindungan yang diharapkan dan sewajarnya diterima keluarga,” katanya.
Jabatan Kehakiman memaklumkan TikTok telah “melalui perubahan ketara dalam pemilikan, pengurusan, fungsi pematuhan dan amalan privasinya” sejak saman itu difailkan.
TikTok kini dikawal TikTok USDS Joint Venture, yang majoritinya dimiliki pelabur Amerika, susulan undang-undang 2024 yang mewajibkan ByteDance melepaskan pegangannya dalam aplikasi itu atau berdepan larangan di AS.
Undang-undang itu didorong kebimbangan mengenai keselamatan negara dan privasi susulan hubungan ByteDance dengan China.













Tinggalkan Balasan