Angka Korban Gempa Bumi Venezuela Meningkat Kepada 6,509, Pembinaan Semula Diteruskan

ISTANBUL, 25 Ogos — Angka korban akibat dua gempa bumi kuat yang melanda Venezuela pada akhir Jun 2026 meningkat kepada 6,509 orang, lapor Anadolu Ajansi memetik Presiden Perhimpunan Kebangsaan Jorge Rodriguez.

Rodriguez berkongsi angka terkini pada Isnin menerusi platform media sosial X ketika pihak berkuasa meneruskan usaha pembinaan semula susulan aktiviti seismik yang dahsyat itu.

Beliau berkata pasukan kecemasan telah menyelamatkan 6,462 orang sejak gempa bumi itu berlaku.

Menurut angka terkini, seramai 226,696 orang menerima rawatan di hospital di seluruh negara Amerika Selatan itu.

Pihak berkuasa telah menilai 60,785 rumah. Daripada jumlah itu, 35,545 masih selamat didiami, manakala 14,239 diklasifikasikan sebagai terhad untuk didiami dan 11,001 lagi dianggap berisiko tinggi.

Kerajaan telah menyerahkan 335 rumah baharu kepada keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat bencana itu, kata Rodriguez.

Operasi pembersihan turut diteruskan dengan petugas mengumpulkan 600,790.70 tan puing, bersamaan 28.61 peratus daripada anggaran keseluruhan runtuhan, katanya.

Gempa bumi bermagnitud 7.2 dan 7.5 melanda Venezuela pada 24 Jun lepas, menyebabkan kemusnahan meluas dan mendorong pelaksanaan langkah kecemasan di seluruh negara.