KUALA LUMPUR, 26 Ogos — Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Rabu, disokong oleh asas domestik yang berdaya tahan walaupun sentimen berhati-hati ketika musim pengumuman keputusan kewangan pada masa ini yang mungkin mengehadkan kenaikan.
Pada 9.05 pagi, indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 2.86 mata kepada 1,739.19 daripada 1,736.33 semasa ditutup pada Isnin. Pasaran ditutup pada Selasa sempena sambutan Maulidur Rasul.
Indeks petunjuk pasaran itu dibuka meningkat 3.07 mata kepada 1,739.40.
Keseluruhan pasaran positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 203 berbanding 184 manakala 332 kaunter tidak berubah, 2,135 tidak diniagakan dan 49 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 180.39 juta saham bernilai RM141.92 juta.
Menurut Apex Securities Bhd, FBM KLCI dijangka diniagakan berhati-hati dengan kecenderungan positif yang sederhana, didorong oleh asas ekonomi domestik yang berdaya tahan.
Bagaimanapun, musim pengumuman keputusan kewangan pada masa ini dijangka menyebabkan pelabur lebih selektif, dengan prestasi korporat dan perkembangan syarikat menjadi faktor yang mempengaruhi prestasi saham individu.
“Sementara itu, penurunan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat dan ketegangan geopolitik yang reda mungkin memberi sedikit kelegaan kepada sentimen terhadap aset berisiko walaupun ketidaktentuan luaran boleh terus mengekang potensi kenaikan pasaran.
“Secara keseluruhan, kami menjangka dagangan kekal selektif, dengan prestasi kewangan yang lebih kukuh mungkin menjadi pemangkin utama bagi saham individu serta pasaran secara keseluruhannya,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah dua sen kepada RM10.58 manakala Public Bank dan CIMB Group masing-masing meningkat empat sen kepada RM5.14 dan RM8. Tenaga Nasional susut lapan sen kepada RM14.22 manakala IHH Healthcare tidak berubah pada RM8.15.
Bagi saham paling aktif, NationGate meningkat 11 sen kepada RM1.60 manakala Ni Hsin dan Asteel masing-masing naik 1.5 sen kepada 16 sen dan sembilan sen. Zetrix AI meningkat satu sen kepada 66.5 sen dan VS Industry naik setengah sen kepada 22.5 sen.
Kaunter paling untung termasuk Malaysian Pacific Industries yang melonjak 34 sen kepada RM41.84 manakala Nestle dan Allianz Malaysia masing-masing naik 20 sen kepada RM104.20 dan RM21.90. Plenitude meningkat sembilan sen kepada RM1.60 dan Vitrox Corporation naik lapan sen kepada RM9.08.
Antara saham paling rugi, Batu Kawan susut 40 sen kepada RM20.60, United Plantations dan Hong Leong Bank masing-masing rendah 20 sen kepada RM31.92 dan RM22.76. Kuala Lumpur Kepong susut 14 sen kepada RM21.78 dan Petronas Dagangan berkurangan 12 sen kepada RM19.88.
Di papan indeks, Indeks FBM ACE meningkat 10.61 mata kepada 5,309.19, Indeks FBM 70 naik 30.28 mata kepada 18,099.53 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 14.47 mata kepada 12,643.84.
Indeks FBM Emas meningkat 22.19 mata kepada 12,840.79 manakala Indeks FBM Top 100 menokok 20.89 mata kepada 12,656.68.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 45.67 mata kepada 20,316.09 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.05 mata kepada 187.11.
Bagaimanapun, Indeks Perladangan rendah 27.93 mata kepada 9,482.50 manakala Indeks Tenaga susut 3.96 mata kepada 773.48.

















Tinggalkan Balasan