Legenda Muzik Country AS Dolly Parton Meninggal Dunia Pada Usia 80 Tahun

ISTANBUL, 26 Ogos — Legenda muzik country Amerika Syarikat (AS) Dolly Parton meninggal dunia pada usia 80 tahun, menurut keluarganya pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi.

Pengumuman itu dibuat menerusi akaun media sosial Parton dalam satu video yang dimuat naik oleh anak saudaranya Bryan Seaver bagi pihak keluarga Parton. Punca kematian tidak didedahkan.

Parton berdepan masalah kesihatan sejak beberapa bulan kebelakangan ini sehingga terpaksa membatalkan beberapa penampilan dan menangguhkan siri persembahan yang dirancang di Las Vegas. 

Beberapa hari sebelum meninggal dunia, beliau memaklumkan peminat bahawa dirinya sedang pulih daripada masalah kesihatan dan memberikan tindak balas yang baik terhadap ubat-ubatan serta rawatan.

Dilahirkan pada 1946 di Sevierville, Tennessee, Parton dibesarkan dalam keluarga miskin dan mula membuat persembahan pada usia muda. 

Beliau mula menyanyi di radio tempatan ketika berusia 10 tahun dan merakam single pertamanya, “Puppy Love,” pada usia 13 tahun, tahun sama beliau membuat penampilan sulung di Grand Ole Opry di Nashville.

Beliau berpindah ke Nashville pada 1964 dan tidak lama kemudian mencipta nama sebagai penulis lagu apabila karya ciptaannya dirakam oleh penyanyi lain. 

Namanya semakin dikenali selepas menyertai rancangan aneka ragam televisyen Porter Wagoner dan membuat persembahan dalam program itu dari 1967 hingga 1974.

Parton kemudian mengukuhkan kedudukannya sebagai penyanyi solo dengan menghasilkan beberapa lagu yang kekal popular pada 1970-an termasuk “Jolene” dan “I Will Always Love You,” yang kemudiannya menjadi hit global menerusi nyanyian Whitney Houston.

Kerjayanya turut berkembang melangkaui bidang muzik. 

Beliau membintangi filem termasuk “9 to 5” dan “Steel Magnolias” serta turut dikenali menerusi kerja kebajikannya, khususnya melalui “Imagination Library” yang menyediakan buku percuma kepada kanak-kanak.

Sepanjang kerjaya lebih enam dekad, Parton menjual lebih 100 juta rekod dan memenangi 11 Anugerah Grammy selain menerima pelbagai pengiktirafan lain. 

Beliau turut disenaraikan dalam “Songwriters Hall of Fame” dan “Rock and Roll Hall of Fame”.