KUALA LUMPUR, 26 Ogos — Sebanyak 132 atlet yang beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 telah dikenal pasti berpotensi untuk dipertimbangkan dalam persiapan ke arah Sukan SEA 2027, dengan Malaysia sebagai tuan rumah.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari dalam satu kenyataan hari ini berkata berdasarkan penilaian awal sepanjang temasya itu, atlet berkenaan terdiri daripada 59 lelaki dan 73 wanita.
“Kesemua atlet ini akan terus dipantau dan dinilai berdasarkan prestasi semasa, konsistensi, kecergasan, status kecederaan, prestasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta keperluan setiap acara,” katanya.
Melangkah ke hadapan, Dr Mohammaed Taufiq berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama-sama Majlis Sukan Negara (MSN) dan semua pihak berkepentingan akan terus meneliti usaha untuk memperkasakan temasya sukan dwitahunan itu.
Beliau berkata usaha penelitian itu akan dijadikan sebagai platform pembangunan atlet, termasuk dari aspek mengenal pasti bakat, penyertaan atlet muda, standard pertandingan, kejurulatihan, penggunaan data prestasi dan sains sukan serta laluan atlet ke program peringkat kebangsaan.
Dr Mohammed Taufiq berkata usaha itu penting bagi memastikan SUKMA terus menjadi medan berkesan melahirkan lebih banyak atlet berprestasi tinggi yang akan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Beliau berkata temasya kali ini sekali lagi membuktikan Malaysia mempunyai pangkalan bakat sukan yang besar dengan tanggungjawab pihaknya adalah untuk memastikan mereka terus dibangunkan menerusi sistem yang berkesan, sokongan yang mencukupi dan laluan prestasi yang jelas.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada kepada pasukan berbasikal trek Terengganu serta perenang Selangor, Eliza Ai Shen Tan atas kejayaan memperbaharui rekod kebangsaan pada SUKMA kali ini.
Pasukan berbasikal trek Terengganu yang dianggotai Nur Aieris Madhiah, Dahlia Hazwani, Ameera Alya dan Nur Aierin Wadhiah mencatat rekod baharu kebangsaan acara kejar-mengejar berpasukan dengan catatan masa 4 minit 42.878 saat (s).
Eliza pula memperbaharui rekod kebangsaan acara 100 meter gaya bebas wanita dua kali, iaitu pada peringkat saingan dan final, dengan catatan 56.78s untuk merangkul pingat emas.
Dalam pada itu, Dr Mohammed Taufiq berkata kementeriannya merakamkan penghargaan dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Selangor, MSN Selangor, persatuan sukan kebangsaan, kontinjen negeri serta semua pihak yang telah menjayakan penganjuran SUKMA Selangor 2026 yang berlangsung 15-24 Ogos lepas.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada tuan rumah atas kejayaan muncul juara keseluruhan dengan kutipan 101 pingat emas, 73 perak dan 71 gangsa.
















Tinggalkan Balasan