Banjir Nepal: Tiada Pengesahan Rasmi Kemalangan Jiwa Libatkan Rakyat Malaysia – Wisma Putra

KUALA LUMPUR, 27 Ogos — Kementerian Luar belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai kemalangan jiwa membabitkan warganegara Malaysia dalam bencana banjir di Nepal, susulan maklumat tidak sahih yang tersebar di media sosial.

Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan pihaknya sedang giat mendapatkan pengesahan segera daripada pihak berkuasa Nepal melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu.

“Kementerian mengambil maklum mengenai maklumat tidak sahih yang tersebar di media sosial dan melalui sumber-sumber tidak rasmi lain berhubung kemungkinan berlakunya kemalangan jiwa membabitkan warganegara Malaysia susulan bencana banjir di daerah Rasuwa, Nepal.

“Pada peringkat ini, Kementerian belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai sebarang kemalangan jiwa yang melibatkan warganegara Malaysia,” menurut Wisma Putra dalam pemakluman media pada Khamis.

Kementerian itu turut menggesa orang awam untuk tidak membuat spekulasi atau berkongsi maklumat yang tidak sahih dan memohon pengamal media supaya tidak menerbitkan atau menyebarkan laporan sedemikian.

Menurut kementerian, maklumat yang tidak sahih boleh mencetuskan kebimbangan dan tekanan yang tidak sepatutnya kepada ahli keluarga yang terlibat. Oleh itu, semua pihak diseru untuk menunggu maklumat rasmi dan menghormati privasi keluarga mangsa yang terjejas.

Wisma Putra memaklumkan Bilik Operasi Kementerian di Putrajaya telah beroperasi sejak 12 tengah hari Khamis bagi menyelaraskan maklumat dan menyediakan saluran komunikasi langsung untuk warganegara Malaysia di kawasan yang terjejas serta ahli keluarga mereka.

Ahli keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan, termasuk nama penuh, nombor pasport, jadual perjalanan, lokasi terakhir diketahui dan nombor telefon yang boleh dihubungi, digesa untuk menghubungi kementerian.

Bilik Operasi Kementerian Luar boleh dihubungi menerusi talian +603 8887 4570 atau e-mel di dutyofficer@kln.gov.my.

“Ahli keluarga juga boleh menyalurkan butiran yang berkaitan secara terus kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu melalui e-mel di mwkathmandu@kln.gov.my, dan disalinkan kepada Bilik Operasi Kementerian,” menurut kementerian itu.

Kementerian itu memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa Nepal, pasukan mencari dan menyelamat, Lembaga Pelancongan Nepal, agensi pelancongan serta hospital utama di Kathmandu bagi memastikan keselamatan dan keberadaan warganegara Malaysia yang terlibat.

Pegawai konsular di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing juga telah diaktifkan untuk membantu usaha ini melalui libat urus dengan pihak berkuasa yang berkaitan di negara penempatan masing-masing.

Menurut Wisma Putra, warganegara Malaysia yang menetap atau melakukan perjalanan di Nepal, terutamanya mereka yang berada di kawasan yang terjejas atau berhampirannya, dinasihatkan dengan tegas untuk sentiasa berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi sepenuhnya semua arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Warganegara Malaysia juga digesa untuk mendaftar dan sentiasa mengemas kini maklumat perhubungan mereka menerusi portal e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my.

“Kementerian akan terus memantau perkembangan situasi ini dan akan menyalurkan maklumat terkini sebaik sahaja maklumat sahih diperoleh,” menurut Wisma Putra.