SERDANG, 29 Ogos — Sebanyak 779 usahawan myAgropreneur Perikanan (myAP) telah berdaftar dengan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) setakat tahun ini dan 34 peratus daripada mereka berjaya meningkat ke tahap perusahaan kecil dan sederhana (PKS) 3 dan PKS 4.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Norazman Ayob berkata pencapaian itu membabitkan nilai pengeluaran tahunan antara RM150,000 hingga RM1 juta.
Beliau berkata pertumbuhan itu disokong oleh penubuhan 253 myKomuniti Perikanan (myKP) yang melibatkan 6,500 anggota komuniti perikanan di seluruh negara.
“Kerajaan sentiasa percaya bahawa kejayaan sesebuah industri tidak hanya bergantung kepada kekayaan sumber yang dimiliki, tetapi sejauh mana kita mampu mencipta nilai daripada sumber berkenaan.
“Justeru, kerajaan akan terus komited memperkasakan usahawan perikanan menerusi proses penciptaan nilai yang merangkumi bimbingan, penambahbaikan produk, penjenamaan dan akses pasaran,” katanya.
Norazman berkata demikian pada perasmian Karnival myAP dan myKP Kebangsaan 2026 yang diadakan bersempena dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, bertemakan “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”.
Beliau berkata program myAP itu kesinambungan penganjuran pada peringkat Zon Timur dan Zon Selatan yang sebelum ini menghimpunkan 40 usahawan bimbingan jabatan.
Bersempena dengan majlis itu, sebanyak 10 usahawan myAP dan myKP yang mencapai tahap PKS 3 dan ke atas terpilih mengetengahkan pelbagai produk hiliran serta inovasi perikanan bagi memperluas jaringan perniagaan.
Dalam pada itu, DOF turut melancarkan produk inovasi Pusat Pengembangan Teknologi Perikanan (PPTP) yang dibangunkan sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan berjaya dikomersialkan oleh usahawan.
Norazman berkata DOF memperuntukkan RM578,519 di bawah RMK12 dan RM80,000 menerusi Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi menyokong pemindahan teknologi menerusi tujuh PPTP di seluruh negara.
Selain itu, DOF menyampaikan cek cura bantuan Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan (SpeKS) Pengembangan 2026 berjumlah RM1.12 juta kepada 43 penerima myAP dan 11 penerima myKP.
Turut disalurkan ialah bantuan Touch Point 2026 bernilai RM348,336 yang memanfaatkan 38 penerima myAP, 125 penerima myKP, 34 Ketua Jaringan Perikanan (KJP), 113 nelayan darat serta 109 nelayan laut.

















Tinggalkan Balasan