KUALA LUMPUR, 31 Ogos — Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) mengalu-alukan langkah yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Amanat Perdana Hari Kebangsaannya, bagi mengurangkan kos operasi dan pematuhan bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menurut ACCCIM, langkah peningkatan pengecualian e-invois kepada RM3 juta daripada RM1 juta dalam perolehan atau pendapatan tahunan itu amat dialu-alukan kerana ia selaras dengan cadangan pra-Belanjawan 2027.
“Ambang pengecualian yang lebih tinggi akan memberi manfaat kepada 1.1 juta PMKS, sekali gus membolehkan mereka memperuntukkan semula modal ke arah penskalaan operasi sambil mengurangkan perningkatan kos bahan mentah dan buruh,” katanya dalam satu kenyataan.
ACCCIM turut mengalu-alukan peningkatan pendanaan bagi pembiayaan perniagaan mikro dari RM1 bilion kepada RM6 bilion dan menyatakan ia akan membantu perniagaan kecil memperoleh pembiayaan pada kos pinjaman yang munasabah.
Tambah ACCCIM, kuota BUDI95 dan BUDI Diesel yang lebih tinggi akan memberi kelegaan kepada pengguna dan perniagaan yang menggunakan bahan api dalam jumlah yang tinggi, tetapi pada masa sama menekankan mengenai perlunya penguatkuasaan yang ketat bagi mencegah kebocoran serta penyalahgunaan.
Selain itu, menjelang pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober, ACCCIM menggesa kerajaan untuk terus memperhalusi struktur cukai, mengurangkan beban kawal selia dan memperkenalkan langkah yang disasarkan bagi menggalakkan pelaburan, meningkatkan produktiviti dan menyokong sektor strategik.















Tinggalkan Balasan