Malaysia Airlines Sambung Semula Penerbangan Ke Busan, Firefly Lancar Laluan Baharu Ke Kunming

KUALA LUMPUR, 4 Sept — Malaysia Airlines akan menyambung semula  penerbangan ke Busan mulai 2 Disember, 2026, menghubungkan semula Kuala Lumpur dengan bandar kedua terbesar di Korea Selatan itu selepas kali terakhir menawarkan laluan berkenaan antara tahun 1996 dan 1998.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Nasaruddin A Bakar berkata, apabila perkhidmatan itu disambung semula, penerbangan dengan kekerapan empat kali seminggu, menggunakan pesawat Boeing 737-8, ia akan melengkapi kesalinghubungan sedia ada Malaysia Airlines ke Seoul.

Sementara itu, syarikat penerbangan sekutu, Firefly akan memulakan penerbangannya ke China tidak lama lagi dengan pelancaran perkhidmatan terus ke Kunming menerusi penggunaan pesawat Boeing 737-800 syarikat penerbangan tersebut.

“Kami akan terus berkembang dengan matlamat yang jelas, memperkukuh rangkaian kami pada pasaran yang mempunyai permintaan, menghubungkan semula pasaran kukuh dan berkembang ke pasaran baharu, selain daripada melabur dalam keupayaan yang menyokong syarikat penerbangan serta pelanggan kami,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Selain peluasan rangkaian, Nasaruddin berkata Malaysia Airlines sedang meningkatkan kesalinghubungannya dengan kapasiti tambahan ke Fukuoka di Jepun, Brisbane di Australia dan Surabaya di Indonesia sebagai respons terhadap permintaan yang semakin meningkat.

“Perkhidmatan ke Fukuoka akan meningkat daripada lima penerbangan seminggu kepada setiap hari, mulai 1 Disember, 2026, berikutan penyambungan semula laluan itu pada 2 September,” katanya.

Malaysia Airlines kekal sebagai satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Fukuoka.

 Dalam pada itu, penerbangan ke Brisbane juga akan ditambah daripada enam kali seminggu kepada setiap hari, mulai 25 Oktober, syarikat penerbangan itu menggunakan pesawat generasi baharu A330neo pada laluan tersebut.

“Mulai 1 November, syarikat penerbangan itu akan menambah dua penerbangan seminggu ke Surabaya, meningkatkan perkhidmatan daripada 14 kepada 16 kali seminggu serta menyediakan akses yang lebih baik kepada tarikan komersial, budaya dan keindahan semula jadi di Jawa Timur, Indonesia,” katanya.

Mengenai kemudahan katering dalam penerbangan baharunya di bawah MAG Culinary Solutions, Nasaruddin berkata kemudahan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu dijangka siap pada suku keempat 2028, operasi dijadual bermula pada suku kedua 2029.

Beliau berkata kerja-kerja pembinaan tapak kemudahan tersebut bermula pada Julai 2026, apabila mula beroperasi kelak, ia dijangka menghasilkan kira-kira 50,000 hidangan setiap hari, hampir separuh daripada kapasiti pengendalian semasa MAGCS.

Kemudahan itu dijangka menyokong syarikat penerbangan MAG serta syarikat penerbangan pihak ketiga dan mewujudkan peluang pekerjaan dan sumber pendapatan baharu untuk kumpulan tersebut.

MAGCS ditubuhkan pada September, 2025 susulan pengambilalihan perkhidmatan katering Malaysia Airlines pada 2023.

Beliau turut menyatakan bahawa pemodenan armada (pesawat) adalah satu lagi bahagian penting dalam persamaan kerana kumpulan itu telah menerima 26 pesawat moden yang menyokong pasaran utama di seluruh rangkaiannya.

Nasaruddin berkata inisiatif berkenaan termasuk peluasan laluan, kemudahan katering dalam penerbangan dan pemodenan armada akan memberikan kumpulan itu keupayaan yang lebih besar, kebolehpercayaan lebih baik serta kapasiti untuk khidmat pasaran dengan lebih berkesan, seiring dengan Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0, dalam mencapai cita-citanya, “Destination 2030”.

“Destination 2030” adalah aspirasi dan sasaran strategik jangka panjang MAG untuk meletakkan Malaysia Airlines kembali dalam senarai 10 syarikat penerbangan terbaik global (Skytrax) menjelang tahun 2030.