Kepakaran China Pacu Peralihan Tenaga Hijau Malaysia

Keupayaan syarikat tenaga China dalam teknologi tenaga boleh baharu (TBB) berpotensi dimanfaatkan Malaysia bagi menyokong peralihan kepada tenaga hijau, termasuk menerusi pembangunan tenaga angin dan solar.

Penolong Presiden merangkap Pengurus Besar Pusat Perniagaan Pemasaran Antarabangsa Mingyang Smart Energy Group Limited, Mark Lou berkata syarikat berkenaan optimis terhadap pasaran Malaysia dan melihat ruang untuk memperluas kerjasama dalam sektor TBB.

“Saya fikir adalah sesuatu yang baik apabila kerajaan mempunyai dasar dan hala tuju yang sangat jelas untuk memastikan keselamatan tenaga pada masa akan datang. Justeru, kami mahu menjadi antara penyumbang kepada keseluruhan proses untuk merealisasikan penyahkarbonan sektor tenaga,” kata Lou kepada pemberita sempena lawatan delegasi Forum Media Asia Pasifik ke pejabat syarikat itu di Zhongshan, Guangdong pada Jumaat.

Beliau juga berkata pihaknya mempunyai keupayaan dan visi untuk membangunkan produk berkaitan TBB di Malaysia, seiring kerjasama yang telah dimulakan menerusi penglibatan dalam aspek pengeluaran dan pelaburan.

Sebagai pemain industri TBB di China, Lou berkata pihaknya mahu memperdalamkan kerjasama dengan Malaysia dalam pelbagai bidang termasuk tenaga angin dan solar, selain meneroka lebih banyak peluang kerjasama dengan pemaju dan kerajaan.