Melaka Harap Pemerkasaan STEM Luar Bandar Diberi Keutamaan Dalam Belanjawan 2027

MELAKA, 6 Sept — Pemerkasaan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di kawasan luar bandar antara fokus yang diharapkan dapat diberi keutamaan dalam Belanjawan 2027.

Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata peruntukan dan sokongan berterusan amat diperlukan bagi memastikan pelajar luar bandar mendapat peluang meneroka teknologi terkini, sekali gus merapatkan jurang dengan rakan sebaya di bandar.

Beliau berkata tumpuan perlu diberikan kepada usaha memperluas program pendedahan teknologi seperti dron, pencetakan tiga dimensi (3D) dan kereta solar menerusi aktiviti berbentuk amali serta interaktif.

“Atas kapasiti portfolio sains dan teknologi, saya harap segala usaha memperkasakan STEM di kawasan luar bandar dapat diteruskan. Kita mahu mendedahkan teknologi masa depan kepada mereka secara praktikal agar tidak ketinggalan,” katanya kepada Bernama.

Mohd Noor Helmy, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, berkata program seumpama itu penting bagi membolehkan pelajar mengendalikan sendiri peralatan teknologi dan bukan sekadar mengenali teori dalam buku teks.

Mohd Noor Helmy berkata pendedahan awal itu bukan sahaja mampu meningkatkan minat pelajar terhadap bidang teknikal, malah turut membina keyakinan dan motivasi untuk mereka menceburi kerjaya berkemahiran tinggi pada masa hadapan.

“Pendedahan awal terhadap teknologi juga mampu membuka perspektif baharu dalam kalangan pelajar luar bandar mengenai peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang berasaskan STEM, sekali gus melahirkan generasi berkemahiran tinggi,” katanya. 

Beliau berkata usaha itu penting bagi merapatkan jurang pendidikan antara kawasan bandar dengan luar bandar, terutama dari segi akses kepada teknologi, kemahiran digital dan pengalaman pembelajaran secara praktikal.

Sokongan melalui peruntukan daripada belanjawan, katanya, penting supaya keperluan masyarakat di kawasan Duyong dapat diberi perhatian dalam perancangan pembangunan pada peringkat Persekutuan, termasuk usaha memperluas akses pendidikan STEM.

Mohd Noor Helmy berkata pelaburan dalam pendidikan STEM perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang negara untuk melahirkan generasi yang bukan sekadar menjadi pengguna teknologi, tetapi juga berupaya mencipta inovasi.

“Harapan dan sasaran ini bukan sahaja meningkatkan minat pelajar terhadap STEM, malah berjaya menyuntik inspirasi mereka untuk mencapai cita-cita tinggi dan merapatkan jurang pendidikan antara bandar dengan luar bandar,” katanya.

Belanjawan 2027 akan dibentangkan pada 9 Oktober ini.