Malaysia Airlines, Batik Air Batal 20 Penerbangan Malaysia-Jakarta Akibat Abu Gunung Berapi

KUALA LUMPUR, 6 Sept — Malaysia Airlines dan Batik Air telah membatalkan sejumlah 20 penerbangan antara Malaysia dan Jakarta hari ini selepas abu gunung berapi daripada gunung Anak Krakatau mengganggu operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta (CGK), Jakarta.

Malaysia Airlines menerusi hantaran di platform X hari ini memaklumkan bahawa  ia akan membatalkan 12 penerbangan antara Kuala Lumpur (KUL) dan Jakarta (CGK) iaitu MH713, MH712, MH711, MH710, MH717, MH716, MH721, MH720, MH723, MH722, MH7245 dan MH725.

“Memandangkan situasi yang tidak menentu, Malaysia Airlines sedang memantau perkembangannya dengan teliti.

“Kemas kini selanjutnya mengenai penerbangan yang terjejas akan disampaikan terus kepada pelanggan terlibat,” menurut kenyataan itu.

Syarikat penerbangan nasional itu mengingatkan penumpang untuk memastikan butiran hubungan mereka dikemas kini melalui “My Booking” (tempahan saya) di laman webnya untuk menerima kemas kini tepat pada masanya menerusi e-mel dan SMS.

Pelanggan juga boleh menghubungi sokongan Live Chat di laman web Malaysia Airlines atau pusat hubungan globalnya untuk mendapatkan bantuan.

“Keselamatan penumpang dan kru kami kekal menjadi keutamaan utama kami,” menurut Malaysia Airlines.

Sementara itu, Batik Air dalam kenyataan berasingan menyatakan bahawa ia telah membatalkan lapan penerbangan berjadual antara Malaysia dan Jakarta hari ini, iaitu OD398, OD399, OD346, OD347, OD388, OD389, OD390 dan OD391.

Enam daripada perkhidmatan yang dibatalkan beroperasi antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Jakarta, manakala dua beroperasi antara Subang dan Jakarta.

Menurut kenyataan itu, keputusan itu susulan penyelarasan dengan pihak berkuasa penerbangan dan pengendali lapangan terbang, mencerminkan komitmennya terhadap keselamatan dan kesejahteraan penumpang dan kru penerbangan.

“Abu gunung berapi di ruang udara boleh mengurangkan penglihatan, mengganggu sistem navigasi pesawat, dan berpotensi menjejaskan prestasi enjin,” menurut Batik Air.

Batik Air menyatakan ia akan terus memantau situasi dan memberikan maklumat terkini mengenai operasi penerbangan ke dan dari destinasi yang terjejas melalui laman web rasmi dan saluran media sosialnya.

Penumpang yang terjejas juga akan dimaklumkan melalui maklumat untuk dihubungi yang didaftarkan mereka.

“Penumpang terjejas boleh meminta untuk menjadualkan semula perjalanan mereka ke penerbangan Batik Air seterusnya yang tersedia, tertakluk pada ketersediaan, atau meminta bayaran balik.

“Penumpang dinasihatkan untuk menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Batik Air atau saluran tempahan masing-masing untuk mendapatkan bantuan,” menurut kenyataan itu.

Batik Air adalah syarikat penerbangan berdaftar di Malaysia dan beroperasi di bawah Lion Air Group.