KUALA LUMPUR, 6 Sept — Pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inflasi yang terkawal, adalah antara faktor yang mendorong Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.
Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata teras utama dan inflasi teras kekal terkawal pada 1.8 peratus serta dua peratus, masing-masing di sebalik tekanan kos sepanjang tahun.
“Ini menyebabkan inflasi berada dalam jajaran unjuran 1.5 hingga 2.5 peratus, dan ia agak terkawal. Pertumbuhan adalah mampan tanpa tanda kemeruapan.” katanya kepada Bernama selepas pengumuman OPR pada Khamis.
Mengenai pertumbuhan ekonomi, Abdul Rasheed percaya kecerdasan buatan (AI) dan kitaran naik teknologi akan terus menyokong pertumbuhan eksport memasuki 2027 serta menyambung ke 2028.
“Pertumbuhan kukuh pada suku kedua 2026 disokong terutamanya oleh eksport iaitu daripada sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan pembuatan serta permintaan dalam negeri dan perbelanjaan pelancongan yang mampan.
“Pertumbuhan setahun penuh (2026) adalah sekitar lima peratus dan (pertumbuhan) ini juga akan masuk ke 2027 dengan pemacu pertumbuhan yang sama,” katanya.
Bagaimanapun, Abdul Rasheed berkata BNM kekal berwaspada terhadap risiko inflasi yang berpunca daripada konflik Asia Barat yang masih berpanjangan selain kemungkinan tekanan kos dari segi penawaran, dan akan terus memantau situasi itu dengan teliti untuk menentukan tindak balas yang sesuai.
Penghantaran tekanan kos kepada ekonomi domestik telah dihadkan oleh langkah dasar domestik, dan menyebut bahawa perniagaan telah membantu menyerap tekanan kos serta membuat pelarasan, termasuk melalui kepelbagaian rantaian bekalan, strategi penyumberan alternatif atau pengurusan inventori.
Beliau juga berkata tindak balas dasar akan bergantung kepada punca tekanan inflasi.
“Jika ia semata-mata disebabkan tekanan kos, dasar monetari bukanlah alat yang berkesan, dan kita perlu menanganinya menggunakan alat yang berbeza.
“Tetapi jika tekanan inflasi disebabkan oleh permintaan, maka dasar monetari mempunyai peranan untuk dimainkan. Kita akan memantau dengan teliti dan menggunakan tuas yang sesuai bagi mengawal inflasi,” katanya.

















Tinggalkan Balasan