Kadar Pengangguran 1.6 Peratus Bukti Melaka Laksana Perancangan Terbaik Untuk Rakyat

MELAKA, 6 Sept — Kadar pengangguran yang rendah iaitu 1.6 peratus membuktikan Kerajaan Negeri Melaka berusaha membuat perancangan terbaik bagi rakyat negeri itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata angka berkenaan “tidak jatuh dari langit”, sebaliknya hasil usaha keras dilakukan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, barisan Exco, penjawat awam serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri berkenaan.

“Ertinya, Kerajaan Negeri Melaka di bawah kepimpinan Yang Berhormat Datuk Seri Utama Ab Rauf telah merancang masa depan anak-anak muda, memberikan peluang pekerjaan yang banyak, menyantuni anak-anak muda, menyantuni orang-orang lama.

“Kepimpinan ini amat penting dan saya ucapkan tahniah kerana pencapaian 1.6 peratus ini adalah merupakan pencapaian yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 yang turut dihadiri Ab Rauf di tapak parkir Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata walaupun Melaka merupakan negeri kecil berbanding jirannya, terdapat lebih 56 peratus pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih untuk menyambung pelajaran dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau berkata selain itu, terdapat kira-kira 293,000 anak muda yang berumur 15 hingga 30 tahun di negeri itu sekali gus menunjukkan potensi tenaga kerja yang cukup besar.

“Kalau (anak muda berusia) 30 hingga 40 tahun, campur lagi 25 peratus, ertinya, hampir 53 peratus penduduk Melaka terdiri daripada mereka yang berumur 40 tahun ke bawah. 

“Ertinya potensi tenaga kerja di Melaka ni cukup besar kerana ia bergantung kepada guna tenaga anak-anak muda di Melaka ini… banyak perkara yang boleh kita garapkan,” katanya.