PUTRAJAYA, 7 Sept — Barisan Nasional (BN) mengambil pendirian untuk tidak mengulas lanjut dakwaan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan bagi menjatuhkan Kerajaan Malaysia pada 2014.
Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata dakwaan itu melibatkan perbualan antara Abdul Hadi dengan pihak berkenaan dan berada di luar bidang kuasa BN, justeru menyerahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian masing-masing.
“Kalau ada yang nak mempersoalkan, itu masing-masing punya penilaian. Apabila beliau menyatakan begitu, setidak-tidaknya rakyat tahulah tentang apa yang berlaku dan kita tidak boleh mengambil mudah politik dalam negara kita ini,” katanya.
Menteri Pendidikan Tinggi itu berkata demikian kepada pemberita selepas majlis serahan surat tajaan yuran pengajian kepada pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Majlis Peperiksaan Malaysia di sini hari ini.
Zambry berkata dakwaan berkenaan sememangnya mengundang kontroversi, termasuk desakan supaya bukti berkaitan dakwaan itu dikemukakan.
Semalam, tiga laporan polis dibuat berhubung kenyataan Abdul Hadi itu, manakala Kuasa Usaha Sementara Kedutaan AS, David H. Gamble Jr. menerusi hantaran di laman Facebook kedutaan, menyifatkan dakwaan itu palsu kerana AS tidak pernah cuba menentukan kepimpinan politik Malaysia.
Abdul Hadi dilaporkan mendakwa AS menawarkan bantuan kepada parti itu untuk menjatuhkan dan mengambil alih kerajaan ketika BN memerintah negara ketika berucap pada Muktamar Tahunan PAS ke-72 di Kota Bharu, Kelantan.















Tinggalkan Balasan