Lebih 1,000 Penerbangan Dibatalkan Di Lapangan Terbang UK Susulan Gangguan Teknikal

LONDON, 9 Sept — Lebih 1,000 penerbangan dibatalkan di lapangan terbang United Kingdom (UK) pada Selasa susulan gangguan teknikal di pusat perkhidmatan kawalan trafik udara negara itu, lapor Anadolu Ajansi.

National Air Traffic Services (NATS) dalam satu kenyataan berkata masalah teknikal menyebabkan gangguan terhadap pelepasan penerbangan di lapangan terbang UK termasuk beberapa lapangan terbang utama di London.

“Kami sedang menyiasat masalah teknikal yang menyebabkan gangguan penerbangan,” menurut NATS.

NATS kemudiannya mengenal pasti masalah itu berpunca daripada sistem pemprosesan penerbangannya.

Laman penjejakan penerbangan FlightRadar24 memaklumkan sehingga 8 malam waktu tempatan (1900 GMT), lebih 1,000 penerbangan dibatalkan akibat gangguan teknikal itu, termasuk penerbangan ke lapangan terbang di London, Manchester dan Birmingham.

The Telegraph melaporkan peralatan di ibu pejabat NATS di Swanwick, berhampiran Southampton, mengalami kegagalan.

Sementara itu, Arsenal turut terjejas apabila perjalanan pasukan Liga Perdana Inggeris itu ke Naples bagi perlawanan pertama Liga Juara-Juara musim ini menentang SSC Napoli tertangguh.

Sky News melaporkan pasukan itu berada lebih lama di pusat latihan dan dijangka tiba lewat daripada jadual, selepas 9 malam waktu tempatan (2000 GMT).

Dalam satu kenyataan video, Ketua Pegawai Operasi Ryanair Neal McMahon mengkritik Ketua Pegawai Eksekutif NATS Martin Rolfe berhubung apa yang disifatkannya sebagai “ketidakcekapan susulan satu lagi kegagalan Sistem Kawalan Trafik Udara UK”.

NATS kemudian mengeluarkan kemas kini dan berkata proses pemulihan daripada masalah sistem itu mengambil masa “lebih lama daripada yang kami harapkan”.

“Masalah sistem kami kini telah diselesaikan, operasi kembali normal dan kami sedang berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan tunggakan penerbangan,” menurut NATS.