Program CIPCC Beri Pengamal Media Selatan Global Peluang Kenali China

BEIJING, 9 Sept — Edisi terbaharu program “China International Press Communication Centre” (CIPCC) bermula secara rasmi pada Selasa, menghimpunkan 109 pengamal media dari 101 negara dalam program yang bertujuan memberi pendedahan secara langsung mengenai China dan pembangunannya.

Penolong Menteri Luar China Hong Lei berkata program selama tiga bulan setengah itu memberi peluang kepada wartawan dari negara-negara Selatan Global untuk memahami China dengan lebih mendalam, selain mendokumentasikan pengalaman dan pemerhatian mereka untuk dikongsikan dengan masyarakat di negara masing-masing.

“Saya berharap anda semua dapat mendalami amalan nyata negara-negara Selatan Global dalam bersama-sama memajukan pemodenan dan menyampaikannya kepada khalayak yang lebih luas supaya dunia dapat mendengar suara kerjasama Selatan-Selatan, dan kisah kerjasama saling menguntungkan menjadi naratif utama zaman ini,” kata beliau pada majlis perasmian CIPCC di Renmin University of China.

Beliau turut berharap wartawan yang mengambil bahagian dapat menjadi “sahabat karib” China dan memanfaatkan perjalanan selama 100 hari itu untuk mengetengahkan gambaran yang objektif, menyeluruh dan pelbagai dimensi mengenai negara berkenaan kepada dunia.

Sementara itu, Pengarah CIPCC Yu Lei berkata program itu ditubuhkan oleh China Public Diplomacy Association (CPDA) pada 2014 bagi menggalakkan kerjasama praktikal antara China dengan negara lain di seluruh dunia.

Beliau berkata Asia-Pacific Press Centre kemudiannya ditubuhkan pada 2016 bagi memperluas peluang kepada pengamal media dari rantau itu untuk mendekati dan memahami China menerusi pertukaran profesional serta pengalaman secara langsung.

Program CIPCC akan merangkumi kuliah, taklimat diplomatik, aktiviti kebudayaan serta lawatan ke sektor industri dan wilayah di luar ibu negara, yang meliputi pelbagai aspek pembangunan dan masyarakat China.

Wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Ahmad Irfan Che Mohd Ruzaidi merupakan satu-satunya wakil media Malaysia yang menyertai program itu.