Kedutaan AS Di Kuala Lumpur Ucap Takziah Atas Kematian Mangsa Nahas Helikopter

KUALA LUMPUR, 9 Sept — Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur merakamkan ucapan takziah atas kematian tragis seorang juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Sarawak semalam.

Dalam hantaran di Facebook, kedutaan berkata pihaknya turut berdukacita atas kehilangan berkenaan dan mengenang pengorbanan mereka yang mencurahkan masa, kemahiran dan akhirnya nyawa demi berkhidmat kepada orang lain.

“Wira akan tampil membantu mereka yang memerlukan.

“Semalam, lima rakyat Malaysia yang mewakili FDS sedang dalam perjalanan bagi membawa rawatan perubatan kepada komuniti yang jauh dari bandar atau hospital terdekat.

“Misi mereka adalah berteraskan khidmat, ihsan dan tanggungjawab kepada rakyat,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching, Sarawak.