Perang AS-Iran Akan Berakhir Selepas Pilihan Raya Pertengahan Penggal AS – Trump

WASHINGTON/HAMILTON, 10 Sept — Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu berkata perang antara AS dan Iran akan “berakhir serta-merta” selepas pilihan raya pertengahan penggal AS pada 3 Nov.

“Saya fikir perang akan berakhir serta-merta selepas pilihan raya kerana mereka tidak mampu bertahan lebih lama,” kata Trump kepada pemberita sebelum berlepas ke Dallas, Texas untuk berucap pada konvensyen pertengahan penggal pertama Parti Republikan, menurut Anadolu Ajansi.

Trump mendakwa Tehran “terdesak untuk cuba mempengaruhi pilihan raya” dan berkata Washington tidak berhasrat kembali kepada rundingan nuklear.

“Kami tidak mengusahakannya. Ya, rundingan mungkin boleh berlaku, tetapi ia bukan sesuatu yang sedang kami pertimbangkan,” kata Trump.

Beliau turut berkata pentadbirannya sedang melakukan lebih daripada sekadar perjanjian nuklear.

“Banyak lagi perkara selain nuklear,” katanya sambil menambah isu nuklear hampir pasti akan dibincangkan, selain beberapa perkara lain yang turut akan berada di meja rundingan.

Trump juga berkata serangan AS baru-baru ini di Selat Hormuz menyebabkan sembilan kapal tangki Iran tidak lagi dapat beroperasi.

“Anda akan melihat lebih banyak lagi. Kami telah melumpuhkan kira-kira sembilan kapal tangki mereka,” katanya.