KUALA LUMPUR, 10 Sept — Ancaman dalam talian memerlukan penyelesaian rentas sempadan, menerusi sokongan menyeluruh yang menggabungkan kawal selia berkesan, sokongan literasi digital ibu bapa dan akauntabiliti platform yang lebih kukuh, bagi membina kepercayaan digital.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan kesepakatan itu, dicapai oleh peserta Mesyuarat Meja Bulat Menteri-Pengawal Selia (MRRM) bersempena dengan M360 ASEAN 2026 di sini, semalam.
Menurut kenyataan itu, para peserta juga sebulat suara menegaskan komitmen untuk memastikan kanak-kanak dapat meraih manfaat daripada peluang digital, di samping dilindungi daripada ancaman seperti jenayah siber, buli siber dan penyalahgunaan data peribadi.
Sementara itu, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil dalam kenyataan sama berkata sifat kemudaratan dalam talian yang tidak mengenal sempadan, menuntut kerjasama lebih erat antara badan pengawal selia dan bidang kuasa antarabangsa.
“Kemudaratan dalam talian tidak terhenti di sempadan negara, begitu juga dengan tindak balas kita. Melalui MRRM, kita mahu belajar daripada pengalaman pengawalseliaan yang berbeza, mengenal pasti pendekatan praktikal berkesan dan memperkukuh kerjasama untuk melindungi kanak-kanak dalam talian dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata kepelbagaian di rantau ini merupakan kekuatan bersama, namun jurang perundangan dan kawal selia tidak wajar dibiarkan membuka ruang kepada sebarang bentuk eksploitasi.
“Dengan penyelarasan lebih kukuh dalam prinsip kepercayaan digital, jaminan umur dan keselamatan dalam talian, kita lebih berupaya untuk bertindak secara bersama,” katanya.
Fahmi turut menegaskan penyedia platform yang membangunkan ruang maya, perlu bertanggungjawab terhadap keselamatan pengguna, selain menekankan keperluan memperbanyakkan titik persamaan antara kerajaan dan pengawal selia bagi merangka tindakan serantau yang lebih teratur.
Beliau berkata walaupun pendekatan pengawalseliaan mungkin berbeza antara negara, semua pihak berkongsi matlamat sama dalam mewujudkan ekosistem digital yang selamat dan diyakini.
“Perbincangan MRRM telah memperkukuh asas untuk meneruskan kerjasama dalam menangani cabaran yang tidak mampu ditangani oleh mana-mana negara secara bersendirian,” katanya.
MRRM yang dianjurkan Kementerian Komunikasi bersama MCMC menghimpunkan pembuat dasar dan pengawal selia serantau serta antarabangsa, termasuk Pesuruhjaya eSafety Australia dan pihak berkuasa komunikasi United Kingdom (Ofcom) bagi berkongsi kerangka kawal selia dan amalan terbaik masing-masing.
Mesyuarat itu turut berlandaskan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 oleh Malaysia, serta komitmen Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penggunaan Platform Media Sosial Secara Selamat dan Bertanggungjawab untuk ASEAN.
MRRM juga menyediakan platform untuk bertukar-tukar pengalaman pengawalseliaan dan pendekatan praktikal dalam menangani kemudaratan dalam talian, dengan tumpuan khusus terhadap perlindungan kanak-kanak dalam persekitaran digital yang semakin merentasi sempadan, memperkukuh kebertanggungjawaban platform serta meningkatkan kerjasama antara bidang kuasa.
“Pada masa hadapan, MRRM akan terus menyediakan platform kepada pembuat dasar dan pengawal selia untuk bertukar pengalaman, membincangkan isu baharu berkaitan keselamatan dalam talian dan kepercayaan digital, serta meneroka bidang kerjasama praktikal di peringkat serantau dan antarabangsa,” menurut kenyataan MCMC.
M360 ASEAN 2026 anjuran GSMA yang berlangsung pada 9 dan 10 Sept menghimpunkan menteri, pengawal selia dan pemimpin industri untuk membincangkan kepercayaan digital, AI, infrastruktur berdaya tahan dan integrasi digital serantau.
Acara itu yang diadakan buat julung-julung kali di rantau ASEAN dan Malaysia, mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi dengan MCMC sebagai rakan penganjur.















Tinggalkan Balasan