KUALA LUMPUR, 10 Sept — Pergerakan Pemuda UMNO memberi amaran mana-mana wakil rakyat daripada sayap itu yang gagal berkhidmat dengan baik serta mengutamakan kepentingan peribadi tidak dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata kedudukan sebagai wakil rakyat bukan hak milik peribadi, sebaliknya adalah amanah rakyat serta parti yang perlu dipertahankan dengan komitmen tinggi.
Beliau berkata sayap itu tidak berkompromi dengan wakil rakyat yang menunjukkan sikap sombong, malas berkhidmat mahupun sukar dihubungi oleh kepimpinan dan ahli di peringkat akar umbi.
“Jika ada mana-mana wakil rakyat dari Pemuda, kepentingannya lebih daripada kepentingan parti… jika ada wakil rakyat kita yang malas, jika ada wakil rakyat kita susah nak angkat panggilan, balas WhatsApp, tolong bagi tahu kita. Kita akan pastikan dia tidak tercalon lagi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO bersempena dengan Perhimpunan Agung Pemuda UMNO (PAU) 2026 di sini hari ini.
Selain itu, Dr Akmal turut mengingatkan 11 wakil rakyat daripada sayap Pemuda ketika ini supaya sentiasa mengenang jasa jentera parti yang berhempas-pulas membantu kemenangan mereka, dan bukannya bertindak mementingkan diri selepas memegang jawatan.
“Kamu jadi wakil rakyat bukan sebab kamu hebat, tapi kamu jadi wakil rakyat sebab kamu ada kawan-kawan di depan ini yang hebat membantu kamu untuk jadi wakil rakyat.
“Maka jangan pernah rasakan bahawa bila dah jadi wakil rakyat kamu lebih hebat daripada orang lain. Jangan pernah sombong dengan kawan-kawan yang lain,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Akmal memaklumkan sayap itu membuat ketetapan untuk mengangkat anak kepada mantan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran Mohd Radzi Rahimi sebagai anak angkat rasmi pergerakan itu.
Dr Akmal berkata sebagai langkah awal, sebanyak RM36,000 akan disalurkan ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) atas nama kanak-kanak berusia lima tahun itu, Muhammad Riz Haziq.
Beliau berkata sumbangan berkenaan bukan berunsur sedekah atau publisiti, sebaliknya merupakan janji sebuah keluarga perjuangan bagi memastikan kebajikan serta masa depan anak sahabat yang telah pergi terus terbela.
Bulan lepas Mohd Radzi, 40, dan tiga ahli keluarganya, iaitu isteri Nuriani Mohammad Jafri, 36, anak Muhammad Rizz Hazim, lima tahun, serta adik ipar Mohammad Nizam Mohammad Jafri, 35, terkorban selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka dihempap pokok tumbang.
Perhimpunan Agung UMNO 2026 berlangsung dari 9 hingga 12 Sept di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.
Perhimpunan agung ketiga-tiga sayap parti itu berlangsung hari ini melibatkan 1,163 perwakilan bagi Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda (1,171 orang) dan Puteri (1,145 orang).
















Tinggalkan Balasan