Empat Warga China Didakwa Culik Lelaki Singapura, Tuntut Tebusan SGD1 Juta

BALIK PULAU, 10 Sept — Empat warga China termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan menculik seorang lelaki warga Singapura bagi mendapatkan wang tebusan SGD1 juta (kira-kira RM3.28 juta), Julai lepas.

Liu Ting Jun, 46; Guan Siqi, 24; Huang Jian, 39; dan Wang Hao Yu, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

Mereka bersama-sama dua lagi yang masih bebas dan dua orang yang telah meninggal dunia, didakwa secara niat bersama, menculik dan melarikan secara salah Quek Aik Teng di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas pada 4.15 petang, 26 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ikmal Affendi Zulkifly tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kes berkenaan merupakan kesalahan serius serta melibatkan kepentingan awam. 

“Pada peringkat pendakwaan, semakan ke atas pasport sedang dilakukan dan masih lagi tiada pengesahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya.

Peguam Azizul Hilmi Zulkifli yang mewakili Guan, Huang, dan Wang memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan dengan syarat tambahan seperti menyerahkan pasport, melapor diri di balai polis berhampiran serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Sementara itu, peguam Edward Ng yang mewakili Liu memohon jaminan munasabah dengan alasan anak guamnya telah memberi kerjasama kepada pihak polis sepanjang siasatan, selain ketiadaan rekod jenayah lampau.

Hakim menolak kesemua permohonan jaminan berkenaan dan menetapkan 15 Okt untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan polis menembak mati dua warga asing di Alor Setar, Kedah pada Sabtu.

Suspek merupakan ahli sindiket penculikan yang menyasarkan warga asing dengan memperdaya mereka melalui tawaran kerja, percutian selepas berkenalan menggunakan aplikasi janji temu dan media sosial.