Taktik Bahasa Berkod Jual Dadah Dalam Talian Terus Dipantau – Fahmi

KUALA LUMPUR, 10 Sept — Kerajaan sedang memantau taktik licik pengedar yang menggunakan istilah berkod dan akaun palsu, bagi mengaburi pihak berkuasa serta mengelak dikesan penyedia platform e-dagang, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata penjual terbabit dikesan tidak menggunakan nama saintifik atau nama sebenar bahan larangan berkenaan, termasuk dadah sintetik berbahaya seperti fentanil, dalam iklan mereka.

“Kadang-kadang mereka menggunakan perkataan yang berbeza. Bagi pengguna, mereka mungkin mengenali dan mampu membeli, tetapi platform tidak tahu itu adalah barang yang terlarang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan M360 ASEAN 2026, di sini hari ini.

Fahmi berkata tindakan memantau dan memeriksa perkhidmatan e-dagang akan dilakukan secara berterusan, bagi memastikan tiada ruang diberikan kepada penjualan produk terlarang tersebut.

“Saya akan setiap hari membuat semakan sama ada platform masih membolehkan barang-barang terlarang ini dijual ataupun tidak,” katanya.

Fahmi berkata wakil sebuah platform e-dagang berkaitan telah dipanggil pada Isnin, berhubung isu itu, namun beliau masih menunggu taklimat penuh mengenai hasil perbincangan terbabit.

Beliau menegaskan pendirian tegas kerajaan tidak akan berkompromi dan menuntut syarikat platform agar bertindak proaktif, bukan sekadar menurunkan kandungan hanya selepas aktiviti berkenaan dikesan atau ditularkan.

“Banyak daripada jualan dadah ini berselindung di sebalik akaun palsu. Kita tidak mahu platform membolehkan akaun palsu diwujudkan dengan tujuan menjual produk terlarang atau terlibat dalam aktiviti termasuk judi dalam talian,” katanya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diarahkan mengambil tindakan tegas terhadap penyalahgunaan platform e-dagang, yang dikesan menjual dadah sintetik termasuk fentanil yang diadun atau dikaitkan dengan cecair produk vape.

M360 ASEAN 2026 anjuran GSMA yang berlangsung pada 9 dan 10 Sept menghimpunkan menteri, pengawal selia dan pemimpin industri untuk membincangkan kepercayaan digital, AI, infrastruktur berdaya tahan dan integrasi digital serantau.

Acara itu yang diadakan buat julung-julung kali di rantau ASEAN dan Malaysia, mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi dengan MCMC sebagai rakan penganjur.