FINAS Teroka Peluang Perluas Pasaran Filem Malaysia Di China

BEIJING, 14 Sept — Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) meneroka potensi memperluas pasaran filem tempatan di China dengan aspirasi membawa sehingga 10 judul setahun ke negara itu.

Pengerusi FINAS Datuk Dr Hans Isaac berkata usaha itu bagaimanapun bergantung pada penerimaan pasaran, keperluan kawal selia dan kesediaan pengedar tempatan.

Beliau berkata pengedar turut mengambil kira kesesuaian genre, potensi penonton, strategi pemasaran dan kos pengedaran sebelum membuat keputusan membawa masuk sesebuah filem.

“Keutamaan pada peringkat ini adalah membuka laluan pasaran secara berperingkat dan membina keyakinan dalam kalangan pengedar.

“Jumlah filem yang dapat dibawa masuk bergantung pada sambutan penonton serta penilaian komersial pihak pengedar,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri malam gala China-Malaysia Film Festival 2026 bersempena dengan Musim Kebudayaan Xingtan ke-12 di sini, baru-baru ini.

Program anjuran bersama Alpha Unit Films & Distribution Sdn Bhd dan China Film Industry Group Co Ltd dengan sokongan FINAS itu menampilkan lima filem tempatan iaitu A Mighty Adventure, Ah Beng vs Liang Po Po, Babah, The Last Dive dan Abah Saya, Uncle Mike.

Hans berkata lima filem itu dipilih rakan industri China daripada kira-kira 30 judul yang dikemukakan menerusi proses pemilihan terbuka berdasarkan kesesuaian dengan cita rasa penonton tempatan.

Beliau berkata festival yang mengambil masa lebih setahun untuk direalisasikan itu bukan sahaja  menyediakan ruang tayangan kepada filem Malaysia, malah membuka peluang kerjasama dalam penerbitan bersama, pengedaran, teknologi dan pembangunan bakat.

“FINAS mahu menjadi pemudah cara yang menghubungkan penerbit Malaysia dengan rakan industri China serta membantu membuka lebih banyak peluang pengedaran, penerbitan bersama, perkongsian teknologi dan pertukaran kepakaran kreatif,” katanya.

Beliau berkata sesi meja bulat bersama penggiat industri filem China turut diadakan bagi membincangkan strategi pemasaran, proses dokumentasi dan data industri, selain memberi peluang kepada penerbit Malaysia menjalin hubungan dengan pemain industri di negara itu.

Pada program berkenaan, Hans turut menyaksikan pemeteraian lima memorandum persefahaman melibatkan syarikat industri Malaysia dan rakan dari China dalam bidang penerbitan, pengedaran kandungan dan filem serta animasi.

Kerjasama itu melibatkan Perfect Pet dengan Fly Studio, Alpha Unit Films & Distribution Sdn Bhd dengan Le He He bagi pengedaran kandungan, Red Sugar Cane dengan Le He He bagi penerbitan filem, Alpha Unit Films & Distribution Sdn Bhd dengan Lin Nan bagi pengedaran filem serta Ape House dengan Liu Ying Intelligent/Dou Ying bagi penerbitan animasi.

Hans berkata projek penerbitan antarabangsa yang menjalani penggambaran di Malaysia boleh memohon insentif di bawah Film in Malaysia Incentive (FIMI), yang menawarkan rebat tunai hingga 30 peratus tertakluk kepada syarat dan kelulusan ditetapkan.

“Usaha ini bertujuan menarik lebih banyak aktiviti produksi antarabangsa ke Malaysia, di samping menggalakkan penggunaan lokasi, fasiliti, perkhidmatan produksi dan tenaga kerja tempatan,” katanya.

Beliau berkata FINAS juga akan terus menyokong usaha kerajaan memperkukuh kerangka penerbitan bersama antara Malaysia dan China, yang memerlukan penyelarasan lanjut antara pihak berkaitan di kedua-dua negara.

“Kerangka penerbitan bersama yang dipersetujui kelak berpotensi memudahkan urusan dokumentasi, percukaian dan pelaksanaan produksi antara kedua-dua negara,’’ katanya.

Hans berkata peluasan kerjasama antarabangsa itu selari dengan usaha transformasi Industri Kreatif Malaysia yang memberi penekanan kepada pembangunan bakat, pendidikan, teknologi, akses pasaran dan penambahbaikan proses kerja.

Mengenai perkembangan kecerdasan buatan (AI), beliau berkata teknologi itu perlu dimanfaatkan secara bertanggungjawab dengan mengambil kira kreativiti manusia, etika, hak cipta dan harta intelek.

Hans berkata pasaran Asia merupakan antara platform strategik untuk meningkatkan keterlihatan filem Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Pengiktirafan di festival dan anugerah antarabangsa kekal penting. Pada masa sama, kita perlu memperkukuh akses pasaran dan jumlah penonton, khususnya di rantau Asia, sebagai sebahagian daripada strategi antarabangsa yang lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata FINAS turut meneroka program pertukaran kepakaran kreatif bagi memberi pendedahan kepada kru dan tenaga produksi Malaysia mengenai amalan kerja serta teknologi di peringkat antarabangsa.

Katanya, perkongsian pengalaman itu berpotensi memperkukuh keupayaan tenaga kerja tempatan dan meningkatkan daya saing produksi Malaysia dalam pasaran serantau dan global.