Pejabat Ketua Menteri Nafi Ab Rauf Tandatangan Dokumen Bubar DUN Melaka

MELAKA, 15 Sept — Pejabat Ketua Menteri Melaka menafikan dakwaan bahawa Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh telah menandatangani dokumen pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam hari ini.

Ketua Komunikasi Media Pejabat Ketua Menteri Melaka Norhafizah Sati berkata mesej yang tular menerusi aplikasi WhatsApp adalah tidak sahih dan meminta masyarakat serta pengamal media supaya tidak mempercayainya.

“(Saya) selaku Ketua Komunikasi Media setakat hari ini tidak dimaklumkan sebarang perjumpaan (antara Ketua Menteri dengan Yang Dipertua Negeri Melaka). Apa-apa kenyataan Pejabat Ketua Menteri akan maklumkan segera.

“Segala yang tular, tidak sahih sama sekali. Mohon sahabat-sahabat media tidak mempercayai sebarang informasi yang tular tanpa pengesahan Pejabat Ketua Menteri Melaka,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, tular satu mesej menerusi aplikasi berkenaan mendakwa Ab Rauf telah menandatangani dokumen pembubaran DUN Melaka bersama-sama Mohd Ali pada 10.30 pagi ini di Bilik Tamu, Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MITC, Ayer Keroh.

Pada Pilihan Raya Negeri lepas, Barisan Nasional yang dipimpin Ab Rauf membentuk kerajaan negeri selepas menang 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan menang lima kerus dan Perikatan Nasional dengan dua kerusi.

Penggal DUN Melaka akan berakhir Disember ini.