Anwar Cadang Suruhanjaya Bersama Malaysia–Maldives Diadakan Di KL Sebelum Akhir Tahun

MALÉ (MALDIVES), 15 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan supaya Suruhanjaya Bersama Malaysia–Maldives diadakan di Kuala Lumpur sebelum akhir tahun ini untuk terus memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Anwar berkata Suruhanjaya Bersama itu akan menjadi platform penting bagi menangani isu tertunggak dan menterjemahkan hubungan erat antara Malaysia dengan Maldives kepada kerjasama yang konkrit.

Perdana Menteri berkata hubungan dua hala mesti dibina berteraskan saling menghargai keperluan dan kekuatan masing-masing, disokong oleh rasa saling menghormati dan kepercayaan pada peringkat kepimpinan dan antara negara.

“Oleh sebab itu, apabila Presiden menunjukkan keakraban dan komitmen, saya kemudian mencadangkan supaya Suruhanjaya Bersama antara kedua-dua negara dapat diadakan secepat mungkin.

“Kami akan menganjurkannya di Kuala Lumpur sebelum akhir tahun ini. Perkara itu akan memperlihatkan komitmen kami untuk meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara bersaudara ini,” kata beliau pada sidang media bersama-sama Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu di Pejabat Presiden, di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata Suruhanjaya Bersama itu juga akan menjadi platform penting untuk menangani isu tertunggak antara kedua-dua negara.

Beliau berkata Malaysia akan meneliti isu yang menjejaskan rakyat Maldives di Malaysia, termasuk pelajar dan mereka yang ingin mendapatkan penjagaan kesihatan.

Anwar berkata terdapat lebih 2,000 pelajar Maldives di Malaysia, yang bukan sahaja mencerminkan persahabatan antara kedua-dua negara, tetapi juga keyakinan rakyat negara ini terhadap sistem pendidikan di Malaysia.

Beliau berkata terdapat beberapa isu birokrasi yang telah dibincangkan melibatkan ibu bapa yang menemani anak mereka yang sedang menuntut di Malaysia dan beliau berharap perkara itu dapat ditangani pada mesyuarat Kabinet akan datang.

“Saya tidak fikir isu ini berkenaan perbezaan dasar. Kita tidak mempunyai masalah dengan rakyat Maldives yang tinggal di Malaysia, bekerja di Malaysia, ataupun yang belajar di Malaysia. Jadi, saya fikir kita akan memberikan maklum balas yang positif,” kata beliau.

Berhubung aspek penjagaan kesihatan, Anwar berkata isu melibatkan sebilangan kecil rakyat Maldives yang memerlukan bantuan haruslah diselesaikan segera, selaras dengan nilai ihsan dan keprihatinan yang menjadi teras kerangka MADANI. 

Beliau berkata Malaysia juga akan meneliti perkara melibatkan kehadiran diplomatik Maldives yang boleh ditangani melalui Suruhanjaya Bersama.

Anwar dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Maldives yang akan berakhir hari ini.

Delegasi Malaysia terdiri daripada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan serta Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka dan Maldives Badli Hisham Adam.

Lawatan Anwar dari 14 hingga 15 Sept ini adalah atas undangan Muizzu dan merupakan lawatan pertama beliau ke kepulauan Lautan Hindi itu sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada November 2022.

Malaysia dan Maldives menjalin hubungan diplomatik pada 1968, dengan kedua-dua negara terus memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan dan hubungan antara rakyat.