Loke Teruskan Tugas Rasmi Di China Sebelum Urus Peletakan Jawatan – MOT

KUALA LUMPUR, 21 Sept — Menteri Pengangkutan Anthony Loke akan meneruskan program rasmi di China seperti dijadualkan bagi mewakili Malaysia pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) ke-12 di Beijing dari hari ini hingga esok.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan program turut melibatkan beberapa pertemuan dua hala dan pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU).

MoU itu melibatkan kerjasama pengangkutan antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Rakyat China merangkumi sektor darat, rel, maritim, penerbangan dan logistik serta MoU kerjasama keselamatan penerbangan antara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC).

“MoU CAAM-CAAC merangkumi bidang seperti kelayakan udara, pensijilan organisasi penerbangan, pelesenan personel, pengawasan operasi serta pengiktirafan bersama dapatan dan sijil pematuhan,” menurut kenyataan itu.

MOT memaklumkan selepas program rasmi di Beijing, Loke dijadualkan ke Shanghai untuk menyertai rombongan Perdana Menteri sebelum kembali ke Malaysia bagi menguruskan perkara berkaitan proses peletakan jawatan Menteri Pengangkutan.

“MOT akan terus memastikan segala urusan dan tanggungjawab kementerian dilaksanakan seperti biasa secara profesional dan teratur,” menurut  kenyataan itu.

Pada Sabtu lepas, Loke menawarkan diri meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan pendirian DAP berhubung pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.