KUALA LUMPUR, 21 Sept — Ringgit dibuka bercampur-campur berbanding mata wang utama dan ASEAN pada Isnin berikutan pelabur menilai kenaikan kadar faedah oleh Bank of Japan (BOJ) pada Jumaat lepas.
Sementara itu, mata wang tempatan dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini.
Pada 8 pagi, ringgit menurun kepada 4.0810/0865 berbanding dolar AS daripada 4.0795/0840 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Jumaat lepas, BOJ menaikkan kadar faedah sebanyak 0.25 peratus kepada 1.25 peratus, mendorong kos pinjaman kepada paras tertinggi dalam tempoh 31 tahun, selain merupakan kenaikan kadar faedah pertama sejak Jun.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ini mewujudkan kebimbangan mengenai kemudahan untuk menyusun semula ‘yen carry trade’.
“Selain itu, harga minyak mentah yang tinggi boleh menyebabkan inflasi kekal tinggi.
“Ini akan memberi alasan kepada Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) untuk terus menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas lagi pada akhir tahun ini,” katanya kepada Bernama.
Dalam negara, Mohd Afzanizam berkata ekonomi Malaysia menunjukkan prestasi yang baik, dengan kadar pertumbuhan tahun lepas sebanyak 5.2 peratus manakala Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan pertumbuhan 5.7 peratus pada separuh pertama tahun 2026.
“Ini menjadikan normalisasi Kadar Dasar Semalaman (OPR) kembali kepada 3.00 peratus sebagai keputusan yang wajar.
“Selain itu, Bank Negara Malaysia (BNM) dilihat akan membina penampan dasarnya bagi menghadapi potensi cabaran pada masa depan.
“Oleh itu, ringgit dijangka mendapat sokongan yang baik dan kekal diniagakan dalam jajaran kecil hari ini,” katanya.
Pada sesi pembukaan, ringgit bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.6846/6909 daripada 4.6849/6901 semasa ditutup pada Jumaat lepas, bagaimanapun menurun berbanding yen Jepun kepada 2.5990/6027 daripada 2.5829/5860 dan merosot berbanding pound kepada 5.4641/4714 daripada 5.4543/4603.
Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ringgit menurun berbanding dolar Singapura kepada 3.1980/2026 daripada 3.1933/1971 semasa ditutup pada Jumaat lepas dan menyusut berbanding rupiah Indonesia kepada 229.8/230.2 daripada 229.7/230.0 sebelum ini.
Mata wang tempatan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.2369/2585 daripada 12.2383/2562 dan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 6.50/6.51.

















Tinggalkan Balasan